Skuad Futsal Wanita Gagal Pertahan Gangsa - Sukan SEA 2017 | mStar

Skuad Futsal Wanita Gagal Pertahan Gangsa

Pemain futsal wanita negara, Steffi Sarge Kaur (tengah) cuba mengawal bola dan dihadangn dua pemain Thailand, Hataichanok Tappakun (kiri) dan Pacharaporn Srimuang (kanan) pada perlawanan akhir futsal wanita di gelanggang futsal Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Ahad. fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Skuad futsal wanita negara gagal pertahan pingat gangsa yang dimenangi di Laos pada 2013 apabila dibelasah Thailand 0-12  pada Ahad dalam perlawanan terakhir mereka pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Skuad bimbingan Muizzudin Mohd Haris yang sebelum ini menewaskan Myanmar 2-1, kalah kepada Indonesia 1-2 dan seri 1-1 dengan penyandang pingat perak, Vietnam untuk berada di kedudukan keempat dalam perlawanan secara liga sepusingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, di sini.

Thailand, yang merupakan juara pada edisi ke-24, ke-26 dan  ke-27 membuktikan kehebatan dengan mempertahankan pingat emas.

Skuad gajah putih itu mengumpul 10 mata dengan turut menang ke atas Vietnam (3-1) dan Myanmar (10-2) manakala seri dengan Indonesia (2-2).

Acara futsal wanita tidak dipertandingkan pada edisi ke-28 di Singapura dua tahun lepas.

Skuad Vietnam juga mengekalkan pingat perak yang dimenangi pada tiga edisi sama manakala Indonesia, yang tidak menyertai sukan itu pada edisi ke-27, meraih pingat gangsa.

Sementara itu ketua jurulatih Thailand, Udom Taveesuk gembira skuad kendaliannya berjaya mempertahankan pingat emas.

Beliau turut berbangga dengan semangat juang pemain-pemainnya dan berkata pasukannya akan berlatih lebih intensif untuk menjadi yang terbaik di peringkat Asia.

Sementara itu, pemberita gagal mendapatkan komen ketua jurulatih Malaysia. - BERNAMA

futsal , KL2017

Artikel Sebelum

Menang Emas Luar Jangkaan

Artikel Berikut

Jun Hoong Tuai Emas

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM