suria

Ubat Tahan Sakit 'Teman Setia'

KUALA LUMPUR: Pelbagai ranjau dan kisah pahit dialami penerjun negara Wendy Ng Yan Yee sebelum berjaya memenangi emas pertama acara terjun yang membuka tirai pada Sabtu.

Wendy, 24, berkata beliau bergelut dengan kecederaan belakang dan bahu sejak dua tahun lepas dan semakin serius tahun ini hinggalah beliau terpaksa melupakan kejohanan siri dunia tahun ini.

Sejak itu, katanya ubat penahan sakit sentiasa menjadi peneman setia sama ada ketika latihan ataupun selepas menjalani latihan.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang tidak pernah berputus asa walaupun saya ada masanya kurang bersemangat.

“Kecederaan yang saya alami agak serius tetapi saya gembira kerana saya masih boleh berlatih. Semasa latihan, selepas latihan apa yang saya perlukan adalah ais dan ubat penahan sakit. Saya sangat bersyukur ISN, jurulatih dan rakan sepasukan membantu dan kami banyak berbual,” katanya.

Dalam acara 3 meter papan anjal wanita, Wendy mengumpul 342.90 mata untuk emas pertama acara itu, yang juga emas pertama beliau dalam acara individu.

Wendy sebelum ini meraih perak acara sama sejak edisi 2011 di Palembang, 2013 di Nay Pyi Taw dan 2015 di Singapura.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mendedikasikan pingat emas buat nenek kesayangannya yang tidak dapat hadir di Pusat Akuatik Nasional hari ini.

“Saya sangat gembira memenangi emas ini selepas bergelut dengan kecederaan dan telah melalui pelbagai rintangan untuk sampai ke tahap ini.

"Saya dedikasikan emas ini untuk nenek saya yang tidak sihat dan tidak dapat hadir hari ini. Ini (pingat) adalah untuk nenek," katanya.

Wendy akan beraksi dalam acara 1m papan anjal esok dan bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3m papan anjal seirama pada Selasa.

Sementara itu, Nur Dhabitah meraih pingat perak selepas mengumpul 311.25 mata diikuti penerjun Singapura Ashlee Tan Yi Xuan yang mengumpul 233.60 untuk gangsa. -Bernama


KL2017, terjun, Wendy Ng Yan Yee

Artikel Lain