suria

Jackie Tangguh Pengajian Demi KL2017

Jackie Wong bukan sahaja menang emas tetapi mencipta rekod baru dalam acara lontar tukul besi lelaki Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Beliau sanggup menangguhkan pengajiannya bagi membuat persediaan terbaik temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan pada Rabu Jackie Wong Siew Cheer membuktikan beliau membuat keputusan yang tepat apabila dinobatkan pemegang rekod baharu Sukan SEA acara baling tukul besi lelaki dan meraih pingat emas untuk Malaysia.

Bapanya, Andrew Wong Ling Biu memuji keazaman Jackie apabila membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian tahun akhirnya, bidang Perniagaan Pertanian di Universiti Putra Malaysia untuk menjalani latihan intensif di Korea Selatan menjelang KL2017 dalam usaha untuk menyumbangkan pingat emas untuk kontinjen Malaysia.

Selepas berpuas hati dengan pingat gangsa pada tiga kali temasya Sukan SEA sejak edisi 2011 di Palembang, Indonesia, Jackie akhirnya menamatkan kemarau 16 tahun kilauan emas acara itu, selepas Wong Tee Kue memenangi pingat emas pada edisi 2001 di venue yang sama.

Keputusan itu juga menyaksikan atlet berusia 25 tahun dari Sarikei ini, melakar rekod baharu kebangsaan yang diciptanya di Terbuka Korea pada Jun lepas dengan merekodkan balingan 65.34 meter.

“Beliau adalah seorang yang sangat berdisiplin dan saya percaya beliau boleh menguasai acara itu seperti apa yang kita lihat di sini. Saya sangat berbangga dengan pencapaian dan kejayaan manisnya dan beliau melakukannya di hadapan saya,” kata Andrew, yang juga Anggota Parlimen Sarikei.

Ketika zaman kanak-kanaknya, Jackie banyak menghabiskan masa di ladang membantu bapanya, dan secara tidak langsung membina kekuatannya dengan melakukan kerja-kerja keras, sehingga melakar kemenangan bersejarah di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini Rabu.

“Beliau terdedah dengan kerja-kerja keras sejak kanak-kanak dan anda boleh lihat hasilnya, iaitu memenangi emas dan memecah rekod kebangsaan,” kata Andrew.

Ditanya bagaimana Jackie boleh terlibat dalam acara itu, Andrew berkata pada awalnya, anak lelakinya menyertai acara lontar peluru sebelum menyedari terlalu ramai yang memilih acara itu semasa di sekolah rendah.

“Kemudian beliau membuat keputusan untuk mencuba baling tukul besi sebelum mendapati dia boleh pergi jauh dalam acara itu,” katanya. 

KL2017, Jackie Wong Siew Cheer

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain