suria

Kehadiran Keluarga Suntik Semangat Ezuan Bidik Emas

Muhd Ezuan Nasir Khan.

PETALING JAYA: Kehadiran keluarga pada saat-saat akhir menjadi pembakar semangat bagi Muhd Ezuan Nasir Khan mencipta sejarah menjadi penembak pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam acara 50m rifle prone lelaki pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Lapang Sasar Kebangsaan, Subang, dekat sini, Khamis.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu jelas gembira dengan kejayaan tersebut memandangkan tiada wakil Malaysia pernah meraih pingat emas dalam acara berkenaan pada temasya sukan dwitahunan itu.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara berkenaan adalah menerusi Shahril Sahak yang meraih pingat perak pada edisi 2011 di Indonesia.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana saya hanya berusaha sehabis baik dan saya berterima kasih kepada keluarga saya terutamanya ibu bapa yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada saya.

"Saya sebenarnya tidak perasan kehadiran keluarga saya kerana mereka sampai lewat sedikit dan apabila dengar sorakan mereka, ia beri lebih semangat kepada saya untuk berikan yang terbaik," kata Muhd Ezuan yang ditemui pemberita selepas berakhirnya acara berkenaan.

Pemenang pingat perak Sukan SEA 2015 di Singapura mengakui Majlis Sukan Negara dan  Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin banyak membantu dalam memberikan sokongan moral dan kewangan kepadanya  setelah digugurkan daripada Program Podium, awal tahun ini.

Berkongsi kegembiraan Muhd Ezuan adalah jurulatih kebangsaan, Mohd Sabki Mohd Din yang berbangga dengan pencapaian luar biasa anak didiknya.

"Alhamdulillah atas kejayaan dia dan saya sebenarnya cukup yakin kerana Muhd Ezuan pernah memenangi pingat perak pada Sukan Asia 2014 di Korea Selatan.

"Saya pesan kepada dia bahawa dia boleh lakukan yang lebih baik selepas menang pingat perak pada 2014 dan saya gembira dia bangkit walaupun agak tertekan ketinggalan pada pusingan awal sebelum bangkit untuk mencatat kejayaan," jelas Mohd Sabki yang merupakan bekas penembak kebangsaan.

Mohd Sabki pada masa sama turut yakin skuad negara mampu meraih kedudukan podium dalam dua lagi acara, Jumaat iaitu 10m air rifle wanita dan 50m rifle tiga posisi lelaki. 

KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain