suria

Dhabitah Nyala Obor KL2017

Nur Dhabitah Sabri diberi penghormatan untuk menyalakan obor kejohanan pada acara pembukaan rasmi Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu malam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Nur Dhabitah Sabri yang genit dan periang merupakan 'kejutan' yang dirahsiakan dan ditunggu-tunggu apabila muncul dalam aksi penuh dramatik 'diterbangkan' untuk menyalakan obor kawah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada upacara pembukaan rasmi temasya dwitahunan itu, Sabtu malam.

Tatkala negara menanti dengan penuh tanda tanya siapa yang menjadi 'pilihan' untuk melaksanakan tugas istimewa itu, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2014 'diterbangkan' menuju ke kawah berwarna keemasan itu untuk menyalakan obor kawah.

Dikatakan menjadi atlet wanita pertama negara dipilih menyalakan obor kawah dalam sejarah enam Sukan SEA yang dianjurkan Malaysia sejak 1965, penerjun berumur 18 tahun itu dipilih bagi melambangkan masa depan sukan Malaysia.

Nur Dhabitah, anak kelahiran Kuala Lumpur memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform berirama di Glasgow serta pemenang dua pingat emas,masing-masing pada Sukan SEA Myanmar 2013 dan Sukan SEA Singapura 2015.

Kawah itu kelihatan bagaikan 'gergasi' di samping Nur Dhabitah yang setinggi 1.52 meter namun 84,000 penonton di stadium bersorak sebaik sahaja penerjun negara itu menyalakan obor kawah, jelas menunjukkan seluruh negara berbangga dengan bintang terjun negara itu.

Semangat perpaduan yang dipaparkan pada rekaan kawah itu, yang diinspirasikan daripada pelita minyak tanah tradisional Malaysia yang digunakan untuk menyambut tetamu semasa kenduri-kendara.

Kawah itu mempunyai lima ruji dan tertera tulisan Rukun Negara dan berwarna keemasan sebagai simbolik memuliakan monarki Malaysia dan juga melambangkan anugerah tertinggi pada temasya dwitahunan itu.

Motif tenunan pada kawah itu melambangkan kekuatan dalam kesepaduan dan sebagai simbolik bagi semua atlet dan pegawai untuk bangkit bersama-sama sebagai satu keluarga. Ia juga sebagai pengiktirafan terhadap keindahan warisan kraf tradisional rakyat Malaysia untuk dikongsi dengan jiran-jirannya. - Bernama

Nur Dhabitah Sabri, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain