suria

KL2017: Kompang Tiup Semangat Atlet Malaysia

Paluan kompang diyakini dapat memberikan semangat kepada para atlet untuk mempamerkan aksi terbaik semasa pertandingan. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Atlet Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bakal mendengar kemeriahan paluan kompang untuk meniupkan semangat juang mereka apabila berentap dengan pesaing daripada rantau ini pada temasya dwitahunan itu.

Semua ini adalah atas usaha pasukan sorak Malaysia dikenali ‘Famemas' yang anggotanya secara sukarela mengambil inisiatif untuk menaikkan semangat juang atlet negara demi untuk memeriahkan lagi temasya edisi ke-29 itu.

Presiden Famemas, Lee Hui Seng berkata, kesemuanya kira-kira 50 sukarelawan yang mengambil bahagian, termasuk golongan profesional dan bukan profesional yang datang daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat.

Sesetengah daripada mereka yang merupakan peminat tegar sukan, katanya telah mengambil cuti tanpa gaji dan membelanjakan wang sendiri bagi memberi tiket masuk ke sesetengah acara berkenaan.

“Mereka melakukan ini secara percuma untuk negara, korbankan masa demi negara,” katanya kepada Bernama.

Walaupun jumlah mereka tidak begitu ramai berbanding dengan kumpulan sorak yang lain pada KL2017, Lee berkata, Famemas mempunyai pengalaman luas sebagai pasukan sorak kerana sebelum ini telah melakukan inisiatif sama di tujuh Sukan SEA dan tiga Sukan Asia.

“Walaupun, kita bukan satu kumpulan yang besar dan kita satu kumpulan sukarela… tapi kita diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara,” katanya.

Lee berkata Famemas akan mempamerkan semangat sukan kelas ‘A' di venue dengan melaungkan sorakan dengan iringan alat muzik seperti kompang dan gendang.

Famemas, gabungan perkataan 'fame' dan 'Malaysia', ditubuhkan pada 2002 dan mempunyai kira-kira 600 anggota di seluruh negara setakat ini.

Lee berkata mereka telah menyusun perancangan untuk berada di pelbagai venue yang mempertandingkan hampir 400 acara yang ditandingi atlet Malaysia pada Sukan SEA KL yang akan berlangsung secara rasminya dari 19 sehingga 30 Ogos.

Antara anggota mereka yang paling bersemangat ialah Mansor Abdul Khoni, berusia 58 tahun dan lebih mesra dipanggil 'Tok Mo'.

Tok Mo, semasa dihubungi berkata bergantung pada tajaan, kumpulan itu turut mempertimbangkan untuk menghantar pasukan bagi memberi semangat kepada pemain badminton negara pada Kejohanan Badminton Dunia dijadual dari 21 hinggan 26 Ogos di Glasgow, Scotland.

"Kita juga nak beri semangat kepada mereka yang berjuang untuk negara di sana nanti,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain