suria

Jerman Langkah Kanan

Ozil meraikan gol jaringannya.

BORDEAUX: Jerman melangkah ke pusingan separuh akhir Euro 2016 selepas menundukkan Itali 6-5 menerusi penentuan penalti, awal pagi Ahad.

Juara dunia itu akan bertemu sama ada Perancis atau Iceland pada saingan separuh akhir di Marseille pada Khamis apabila berjaya menyempurnakan enam sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada masa tambahan.

Bintang Arsenal, Mesut Ozil meletakkan Jerman di depan pada minit ke-65 sebelum Leonardo Bonucci menyamakan kedudukan untuk Itali.

Kedua-dua pasukan gagal menghadirkan sebarang gol dalam aksi masa tambahan.

Penalti terakhir yang disempurnakan Jonas Hector memastikan kemaraan Jerman ke peringkat separuh akhir menerusi penentuan penalti yang mendebarkan.

Kemenangan Jerman ke atas Itali turut menamatkan badi juara dunia itu ke atas musuh tradisinya itu di pentas kejuaraan utama - Piala Dunia dan Euro sebelum ini.

Daripada lapan pertembungan di Piala Dunia dan Euro, Itali mencatat empat kemenangan dan seri empat kali termasuk ketika menyingkirkan Jerman pada edisi 2012 di peringkat separuh akhir.

Senarai pemain:

Jerman: Neuer; Howedes, Boateng, Hummels: Hector; Kroos, Khedira, Muller, Ozil, Kimmich; Gomez.

Itali: Buffon; Barzagli, Bonucci, Chiellini; Florenzi, Sturaro, Parolo, Giaccherini, De Sciglio; Eder, Pelle.
Euro 2016, Itali, Jerman

Artikel Lain