suria

Tenis: Perjalanan Roger Federer akan berakhir, umum bersara selepas Piala Laver

Kejuaraan terakhir dalam kejohanan Wimbledon pada 2017 iaitu 14 tahun selepas kemenangan pertama direkodkan.

LEGENDA tenis Roger Federer mengumumkan akan bersara daripada menyertai sebarang pertandingan selepas Piala Laver di London, minggu depan.

Bintang Switzerland berusia 41 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada peminat atas 'perjalanan yang sukar dipercayai' yang dilaluinya sepanjang penglibatan dalam arena tenis selama 24 tahun.

Beliau mendedahkan, keputusan berat itu dibuat setelah dia sedar bahawa 'sudah tiba masanya untuk tamat' susulan kecederaan dan masalah kecergasan yang sering dialami baru-baru ini.

Federer akan turun sebagai salah satu pemain terbaik sepanjang masa dalam permainan selepas memenangi 20 gelaran perseorangan Grand Slam, termasuk lapan di Wimbledon iaitu lebih daripada pemain lain dalam sejarah sukan tenis.

ARTIKEL BERKAITAN: Ranking Roger Federer terjejas akibat kecederaan, duduki tangga ke-15

Gaya permainannya yang elegan juga menyaksikan dia menjadi salah seorang pemain yang paling dikagumi sepanjang zaman, terutamanya di United Kingdom di mana dia cenderung bermain tenis dengan cemerlang.

"Seperti kebanyakan anda tahu, tiga tahun lalu telah memberikan saya cabaran dalam bentuk kecederaan dan pembedahan.

"Saya tahu kapasiti serta had badan saya, dan mesejnya kepada saya sejak kebelakangan ini jelas," tulis Federer dalam satu kenyataan yang menyentuh hati.

Roger Federer umum akan bersara selepas Piala Laver minggu hadapan.

Roger Federer umum akan bersara selepas Piala Laver minggu hadapan.

Malah beliau menyatakan, telah bermain lebih daripada 1,500 perlawanan sebelum menyedari 'masa terbaik' untuk menamatkan karier di usia 41 tahun.

"Ini adalah keputusan yang pahit, kerana saya akan merindui segala yang diberikan dalam siri jelajah kejohanan yang disertai. Tetapi pada pada masa yang sama, banyak yang perlu diraikan," luahnya.

Dalam pada itu, Federer menyifatkan dirinya sebagai 'salah seorang yang paling bertuah di muka bumi' dan berterima kasih kepada isterinya Mirka yang hampir selalu dilihat di tepi gelanggang demi memberi sokongan dalam perlawanannya.

Dia juga secara telus mengucapkan kata-kata romantis dan meminta isterinya untuk sentiasa bersama sepanjang masa.

Pada masa sama, beliau berkata 'Demi permainan tenis: Saya sayang awak dan tak akan tinggalkan awak'. - Daily Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain