suria

Piala Sudirman: Perjalanan terhenti di separuh akhir, hasrat Malaysia lakar sejarah tak kesampaian

Aksi Zii Jia cemerlang ketika menewaskan Momota dengan memperoleh kemenangan 21-20, 21-19.

SUDAH sedaya upaya melakukan yang terbaik, namun hasrat Malaysia untuk mara ke pusingan akhir badminton Piala Sudirman tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Jepun sewaktu pertembungan peringkat separuh akhir, di Vantaa, Finland, sebentar tadi.

Permulaan yang tidak begitu baik buat Malaysia apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dengan pungutan mata 15-21, 14-21.

ARTIKEL BERKAITAN: Piala Sudirman: Malaysia gagal jinakkan Jepun, berdepan Indonesia di suku akhir

Perseorangan wanita negara, S. Kisona yang menggalas tugas seterusnya juga gagal menjinakkan Akane Yamaguchi apabila tewas 7-21, 5-21 di tangan pemain nombor 5 dunia itu.

Jaguh perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, beraksi cemerlang apabila merapatkan jurang dan menumpaskan pemain nombor 1 dunia, Kento Momota dengan kemenangan 21-20, 21-19.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, meneruskan cabaran negara dengan berdepan Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo.

Bagaimanapun pasangan ini juga terpaksa akur apabila tewas 19-21, 17-21.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah muncul juara sejak edisi 1989 ketika Piala Sudirman mula diperkenalkan.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah melangkah ke separuh akhir pada edisi 2009.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Kes Covid-19 dijangka meningkat - KJ