suria

“Terdapat beberapa siri tuduhan… “ Dharma enggan sambung latih skuad The Tigress

Dharma Raj Abdullah berbual bersama kapten skuad hoki wanita kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani (kiri) selepas sidang media ketika mengumumkan keputusannya untuk tidak terus mengemudi skuad hoki wanita kebangsaan pada Isnin. Foto: Bernama

JURULATIH hoki berpengalaman, Muhammad Dharma Raj Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak terus mengemudi skuad hoki wanita kebangsaan.

Muhammad Dharma yang merupakan antara jurulatih hoki kebangsaan yang kontraknya bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tamat pada 31 Disember lepas, memutuskan untuk tidak kembali memohon jawatan tersebut.

Jurulatih berusia 50 tahun itu yang bertanggungjawab menjadikan The Tigress sebagai salah sebuah pasukan terbaik Asia berkata, beberapa dakwaan mengaitkan dirinya seolah-olah berpaling tadah terhadap KHM, sebagai alasan utama keputusan itu diambil.

"Terdapat beberapa siri tuduhan bahawa saya berada dan menyokong calon yang dicalonkan semasa pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan saya nafikan perkara itu. Tuduhan yang timbul semakin buruk, apabila calon tersebut bertemu tiga pemain skuad wanita di Jerman.

"Perkara ini semakin tidak terkawal dan saya tidak tahu siapa di belakang semua ini, yang cuba untuk mewujudkan ketegangan antara saya dan KHM. Ia sesuatu yang tidak perlu wujud dalam hubungan saya bersama majikan (KHM)," katanya pada sidang media memaklumkan perkara itu di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Muhammad Dharma mengakui tidak mudah untuk beliau melepaskan pasukan dibimbingnya itu sejak 2016, terutama selepas pelbagai kejayaan dilakar bersama, namun menegaskan beliau perlu berehat seketika.

“Saya perlu meminta maaf kepada pasukan yang saya tidak dapat meneruskan perjalanan yang saya mulakan bersama mereka. Janji yang saya buat kepada mereka yang saya tidak akan meninggalkan mereka sehingga kami mencapai kejayaan besar.

“Bagaimanapun dalam situasi saya sekarang, ia amat memenatkan dan menyulitkan, jadi berehat adalah baik untuk saya. Selepas memikirkannya dan berbincang dengan keluarga saya, saya memutuskan untuk berehat dan tidak akan memohon jawatan seperti diiklankan oleh KHM,” katanya.

Antara kejayaan diraih Muhammad Dharma bersama pasukan wanita adalah merangkul pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), mencipta sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) dan menduduki tempat kelima pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Tarikh akhir permohonan untuk mengisi jawatan sebagai jurulatih kebangsaan seperti diiklankan KHM adalah selewat-lewatnya pada tengah malam Isnin.

Disember lepas, KHM mengumumkan penamatan kontrak semua jurulatih di bawah badan induk itu kecuali ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans, dalam usaha menyuntik nafas baharu kepada struktur arena hoki negara. - Bernama

Dharma Raj, Hoki, Wanita, Malaysia

Artikel Lain