“Saya kasihan, apa lagi kemalangan berlaku selepas dia menang kejuaraan” - Chong Wei lawat pemain badminton no. 1 dunia Kento Momota

Chong Wei pada Isnin meninggalkan lobi Hospital Putrajaya selepas menziarahi pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) awal pagi Isnin. Foto Bernama

BEKAS jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berharap pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota, yang terbabit dalam pelanggaran agar cepat pulih dan kembali beraksi di gelanggang.

Menzahirkan rasa sedih atas insiden yang menimpa Momota, Chong Wei berharap pemain perseorangan utama Jepun itu diberikan ruang untuk menerima rawatan dan berehat secukupnya.

"Saya ada bercakap dengan beliau dan melihat keadaan dia, saya pun kasihan, apa lagi kemalangan berlaku selepas dia menang kejuaraan dan dalam perjalanan untuk pulang ke Jepun.

ARTIKEL BERKAITAN: Momota patah hidung dan terima jahitan di bibir, keadaan dilaporkan stabil

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu van maut tersepit, empat termasuk pemain badminton no. 1 dunia, Kento Momota cedera dalam kemalangan di lebuh raya MEX

"Saya tahu semua peminat badminton bimbang dengan keadaan ini. Mari sama-sama doakan untuk Momota kembali sihat dan beraksi semula di gelanggang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pemain itu di Hospital Putrajaya di Putrajaya, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi, Momota dan tiga lagi cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabit dalam pelanggaran selepas melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan di Km13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX). 

Pemandu van B.Nageswarau yang tersepit di tempat duduknya, mati di tempat kejadian.

Chong Wei berkata, beliau difahamkan oleh ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong, bahawa Momota perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu.

Pada Ahad, Momota muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020, gelaran pertamanya pada kejohanan berprestij itu selepas menewaskan bekas juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark pada perlawanan akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong turut berada di hospital bagi memberi sokongan moral kepada Momota. - Bernama

Artikel Lain