suria

Masca kembali hidupkan acara kanu slalom

Megat Shahriman (topi merah) jurulatih dan pegawai pada program pemilihan atlet kanu slalom Malaysia.

PERSATUAN  Kanu Malaysia (Masca) terus giat mengukuhkan statusnya sebagai antara badan induk paling aktif apabila bertindak menghidupkan semula disiplin kanu slalom yang telah lama hilang daripada peta sukan Malaysia.

Jadi tidak hairan apabila baru-baru ini badan induk tersebut dengan kerjasama Fakuti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan sesi pemilihan atlet kanu negara.

Menurut Penyelaras Kanu Slalom Masca, Dr Jaffry Zakaria usaha itu giat dijalankan dalam memastikan setiap disiplin sukan kanu mendapat layanan sama rata.

"Kita telah mengambil inisiatif ini demi memperkasakan pembangunan kanu slalom di Malaysia dengan harapan ia dapat berkembang ke seluruh negeri.

"Daripada sesi pemilihan tersebut kami mengenal pasti 25 atlet campuran senior dan muda yang akan diserap sebagai pelatih kebangsaan," katanya.

Selain slalom, kanu mempunyai tiga disiplin utama lain iaitu lumba bot tradisional (akan dikemas kini), kanu pecut dan kanu polo.

Namun, hanya dua disiplin yang dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina 2019 nanti.

Begitupun, Jaffry berkata, ia tidak bermakna pembangunan disiplin itu akan diketepikan ketika mereka perlu membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Sepanyol, September ini.

"Seramai 25 pelatih yang dipilih ini perlu menjalani latihan secara berfasa dan apabila tiba kejohanan utama kami hanya akan membawa yang terbaik.

"Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Masca (Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin) kerana terus bekerja keras selain banyak memberi sokongan untuk menjayakan program ini," katanya.

Mengulas lanjut, Jaffry yang juga pensyarah di UPSI itu yakin hanya atlet terbaik yang dipilih pada sesi pemilihan itu dengan mereka ini perlu memenuhi dua kriteria ditetapkan.

"Perkara paling ditekankan kita adalah soal tahap kecergasan atlet, yang kedua kami mengambil atlet yang mencapai masa ditetapkan," ujarnya.

Kanu Slolam, Malaysia, Sukan SEA

Artikel Lain