suria

Jangan campur urusan AMD! - Teong Kim akhirnya bersuara pertahankan program NFDP

Teong Kim mahu menegaskan bahawa program NFDP bukan untuk jangka masa pendek.

HAMPIR sepuluh bulan  Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berdiam diri selepas gagal ke aksi Kelayakan Piala Dunia Bawah 17 Tahun di Peru, kini Lim Teong Kim sedia meluahkan apa yang terpendam selama ini.

Bekas pengendali akademi remaja Bayern Munich 2001 hingga 2013 itu memegang jawatan sebagai pengarah NFDP ketika program DNA bola sepak ini dilancarkan pada tahun 2014.

Seperti yang ditegaskan sebelum ini setiap program pembangunan memerlukan masa untuk melihat hasilnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Piala AFC: Semuanya belum berakhir, Teong Kim percaya pemain akan bangkit

ARTIKEL BERKAITAN: Perkataan "Bodoh Sombong, Ego" Satu Penghinaan - PJBM

ARTIKEL BERKAITAN: Teong Kim mahu PPBN diteruskan

“Kegagalan skuad Bawah 16 Tahun yang tidak berjaya mara ke aksi Piala Dunia B-17 Tahun bukan bermakna program ini gagal kerana program hanya baru tiga setengah tahun.

Aksi pemain Bawah 16 negara pada saingan kelayakan Piala dunia tahun lalu.

“Ia merupakan sasaran jangka pendek manakala matlamat sebenar adalah jangka panjang adalah bagi menghasil pemain-pemain yang bagus.

“Kita tidak layak ke Piala Dunia bukan kita gagal. Saya memang tidak bersetuju sebelum ini ada seorang individu di FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menegaskan program ini sudah gagal. (Kalau kita syok sendiri, belanja besar tapi tak kemana, bermakna kita gagal-kenyataan individu tersebut).

“Malah dia juga mempertikaikan mengenai perbelanjaan yang banyak. Mana ada program pembangunan yang tidak menggunakan peruntukkan yang banyak kerana ini bukan program negeri, tetapi ia program negara,” ujarnya kepada mStar.

Dedah Teong Kim, pelbagai kritikan yang dilemparkan kepadanya sejak skuad negara tidak layak.

“Pemain-pemain hanya berada di dalam program dalam tempoh tiga tahun setengah ketika itu. Jika dilihat daripada progres pemain-pemain muda ini, mereka sudah mencapai satu tahap yang boleh pergi jauh.

“Kalau negara lain mengambil masa lebih kurang 10 tahun untuk ke Piala Dunia, tetapi kita?. Malah terlalu ramai yang bijak pandai mengkritik tetapi berapa ramai yang datang memberi pandangan yang membina?," katanya lagi.

Sebahagian daripada pelatih-pelatih NFDP Bawah 13 dan 15 tahun 2018.

Soalnya, kini selepas lima tahun bersama NFDP, berapa pemain di bawah program berkenaan telah dipanggil untuk diserapkan ke skuad kebangsaan di Bawah 19 Tahun.

“Mereka ini pemain-pemain bagus, mungkin ramai tidak sedar sebenarnya inilah hasil berdasarkan perancangan program DNA kita untuk melahirkan pemain bola sepak negara.

“Bukan itu sahaja, pemain-pemain bawah 16 dan 17 tahun beraksi dalam Piala Belia dan mereka menunjukkan prestasi yang baik apabila menewaskan pemain-pemain berusia bawah 21 tahun.

“Sepatutnya ia tidak boleh berlaku (menang) kerana mereka ini bukan setaraf dengan lawan. Tetapi apa jadi?.  Sepatutnya situasi ini  perlu diberi perhatian oleh FAM, juga kepada persatuan-persatuan negeri,” tambahnya.

Dalam pada itu Teong Kim tidak bersetuju dengan dakwaan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B.Stahianathan yang mengkrittik pemilihan ramai pemain muda dalam skuad negara (b-19 tahun) adalah perkara biasa.

“Banyak perkara yang saya tidak setuju dengannya. Setahu saya pemain-pemain Bawah 21 negeri juga menjalani latihan yang sama dengan AMD pada setiap hari.

“Hakikat yang perlu diketahui adalah pasukan bawah 21 atau bawah 19 tahun tidak patut kalah dengan pemain-pemain bawah 16 tahun. Ini sesuatu yang serius. Jangan hanya pandai mengkritik kerana mereka ini semua pasukan baharu.

Teong Kim tegaskan NFDP melahirkan pemain yang bagus untuk negara.

“Sebenarnya sejak perlawanan kelayakan sebelum ini lagi dia menyatakan ketidak puasan mengenai corak permainan. Soalan saya kepadanya "adakah dia tengok semua perlawanan itu (Tajikistan, Jepun dan Thailand). Kalau dia tengok perlawanan itu, dia boleh beritahu saya apa yang tidak betul".

“Dan satu lagi sebelum ini dia ada beritahu kelab-kelab remaja di Jepun ada 10,000 pemain. Mana dia dapat fakta ini sebab semuanya mengarut," tegas Teong Kim mengenai kenyataan Sathia yang mendakwa daripada 10,000 pemain di kelab remaja di Jepun itu hanya seorang yang terpilih. 

Teong Kim berharap tidak ada mana-mana pihak yang mengganggu program di AMD.

Leave AMD alone! (Jangan campur urusan AMD). Saya berharap badan induk hanya beri tumpuan kepada pasukan-pasukan negeri (remaja) yang tidak terjaga itu," katanya.

Sebagai rekod, seramai 12  pemain AMD dipanggil menjalani latihan pusat skuad B-19 negara dalam persiapan ke Piala AFF di Vietnam bulan depan, manakala seramai 22 pemain lagi terpilih menyertai Kejuaraan CFA B-15 di China pada 16 Julai lalu.

Selain itu, bekas pengendali B-19 negara, Bojan Hodak mengakui pemain-pemain AMD lebih ‘educated’ berbanding pemain-pemain negeri.

“Mereka lebih muda setahun daripada pemain lain, jadi dari segi fizikal mereka agak terbatas,” ujarnya yang turut menggunakan khidmat pemain AMD sebelum ini.

Lim Teong Kim, PPBN

Artikel Lain