suria

Aksi masa tambahan bawa tuah buat Kedah, julang Piala FA buat kali ke-5

Kedah menjulang trofi juara Piala FA buat kali kelima.

KEDAH merangkul Piala FA buat kali kelima selepas menewaskan Perak pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.

Jaringan tunggal perlawanan hadir ketika aksi masa tambahan (105’) oleh Fadzrul Danel Nizam selepas kedua-dua terikat tanpa jaringan pada tempoh permainan sebenar.

Skuad The Bos Gaurus dipaksa bekerja keras selepas pemainnya Amirul Azhan dilayangkan dua kad kuning minit ke-95.

Peluang itu digunakan sebaik-baiknya anak buah Aidil Sharin Sahak untuk mencari gol yang hadir pada babak pertama masa tambahan.

Pertembungan Perak dan Kedah ini dianggap menarik selepas kedua-dua pasukan bertemu di pentas akhir perlawanan ini selepas 12 tahun. 

Namun ternyata, tuah lebih memihak kepada Lang Merah yang berjaya menjulang tofi ini selepas kali terakhir pada tahun 2017.

"Tahniah kepada semua pemain, staf, keluarga. Malam ini adalah milik Danel. Walaupun padang agak sukar, pemain-pemain semua melakukan yang terbaik. Saya sangat gembira dengan semua pemain.

"Secara jujurnya perlawanan ini sangat sukar kerana dua-dua pasukan bermain secara 'direct' dan agresif. Pada hujung perlawanan banyak peluang yang datang dan akhirnya kami berjaya pada perlawanan ini," ujar Aidil selepas perlawanan.

Sementara itu ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengakui perlawanan yang sukar selepas hilang seorang pemainnya.

"Pemain-pemain sangat luar biasa. Banyak peluang ketika waktu-waktu sukar. Tahniah kepada pasukan Kedah kerana permainan baik tetapi pemain-pemain saya juga sangat bagus. Saya sangat gembira dengan mereka," ujarnya.

Sebagai rekod, kali terakhir Perak menjulang trofi ini pada tahun 2004.

Kedah, Perak, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain