suria

3 pasukan terselamat, MFL tak potong 3 mata

Kelantan antara tiga pasukan yang terselamat daripada dikenakan denda potong tiga mata oleh MFL.

TIGA pasukan Liga Malaysia boleh menarik nafas lega apabila terselamat daripada dipotong tiga mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pasukan itu adalah Melaka, Kelantan dan Sarawak yang tidak dikenakan denda pemotongan tiga mata selepas mengemukakan dokumen yang diminta.

Ini berikutan pasukan berkenaan telah menunjukkan komitmen tinggi untuk mematuhi peraturan MFL dan berjaya melengkapkan proses dokumen sebelum tarikh akhir pada 22 Mei lalu.

Selain itu, MFL turut mengesahkan denda sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang bakal berakhir pada 29 Mei ini  ke atas Kelantan dan Sarawak kekal, namun masih dibenarkan mendaftar satu pemain dengan bersyarat.

“Inilah matlamat MFL iaitu untuk mendidik pasukan dan memastikan kepatuhan terhadap peraturan kami dan ianya bukan untuk menghukum mana-mana pasukan.

“Dengan mengambil kira usaha yang dilakukan oleh Kelantan dan Sarawak, dan juga mengambil kira aspek kesukanan, keputusan telah dibuat untuk membenarkan Kelantan dan Sarawak mendaftar satu pemain.

“Bagaimanapun, untuk layak mendaftarkan satu pemain, pasukan itu terlebih dahulu harus membuktikan kepada MFL terdapat kesan aliran tunai yang positif terhadap kewangan pasukan di mana pendaftaran pemain baharu tidak melebihi perbelanjaan pemain yang digugurkan,” kata MFL dalam kenyataan rasmi kepada mStar pada Jumaat.

Terdahulu, MFL sebelum ini telah mengumumkan keputusan rayuan tujuh pasukan yang dikenakan hukuman susulan kegagalan pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Pasukan berkenaan adalah wakil dari Liga Super iaitu Kuala Lumpur, Felda United dan Melaka, manakala Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang yang beraksi dalam saingan Liga Premier.

Ketujuh pasukan tersebut telah dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan musim ini dan diberikan tempoh kemukakan rayuan.

Bagaimanapun, denda pemotongan geran ke atas Kuala Lumpur, Felda United, PDRM dan Pulau Pinang dikurangkan sebanyak 5 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019, manakala Melaka, Sarawak dan Kelantan dikurangkan sebanyak 10 peratus.

Keputusan pengurangan denda itu dibuat menerusi penilaian Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pasukan-pasukan terbabit menyerahkan bukti pembayaran hutang, pelan pembayaran hutang tertunggak, pelan kewangan perbelanjaan dan pendapatan terperinci pada musim 2019.

Manakala denda pemotongan jumlah geran ke atas Melaka, Sarawak dan Kelantan pula dikurangkan sebanyak 10 peratus.

Ini kerana pasukan-pasukan terbabit ketika itu masih belum melengkapkan surat pengesahan daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau bukti pendapatan 2019.

Artikel Lain