suria

Kedah akur kalah ditangan Pahang, tapi kata Aidil Shahrin "bukan salah pemain"

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Ishak tidak menyalahkan pemainya berikutan kekalahan pertama kepada Pahang dalam saingan Liga Super di Kuantan, baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau akan terus memberi kepercayaan kepada pemain kerana berpuas hati dengan persembahan yang konsisten sepanjang perlawanan berkenaan.

Menurutnya, pertahanan tengah Kedah, Khairul Helmi Johari tidak boleh dipersalahkan kerana jaringan tunggal pada perlawanan itu selepas beraksi sebaik mungkin untuk mengekang serangan lawan.

Jelasnya, beliau dan barisan kejurulatihan lain kagum dengan aksi Khairul Helmi yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik untuk menggantikan Renan Alves.

"Khairul Helmi telah bermain dengan baik untuk mengekang serangan lawan yang diketuai Dickson Nwakaeme sejak awal permainan sebelum gol tersebut terhasil pada minit akhir.

"Bukan setakat dia, tetapi semua pemain Kedah layak diberi pujian kerana prestasi mereka kekal berdisiplin dan berusaha habis-habisan.

"Inilah bola sepak, kadang-kadang kesilapan akan menghukum kita. Tetapi kita tidak boleh menyerahkan kalah kerana satu kekalahan itu dan perlu bangkit," katanya kepada mStar Online.

Aidil Sharin memberitahu, Khairul Helmi akan terus diberi kepercayaan pada perlawanan seterusnya sehingga Renana Alves kembali daripada pergantungan.

Menurutnya, Kedah masih berbaki banyak perlawanan dan mempunyai ruang untuk mendapatkan yang terbaik dalam saingan Liga Super.

"Saya juga ingin memuji dan berterima kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan di Kuantan kerana sokongan mereka telah menyuntik semangat pemain kita," ujarnya


Sumareh, Kedah, Stadium Darul Makmur

Artikel Lain