suria

Hentikan agenda hasut pembaca benci JDT! - TMJ

Aksi JDT bertemu Kuala Lumpur 8 Februari lalu.

PEMILIK kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap penulis sukan perlu membuat laporan yang adil dan tidak berat sebelah.

Tunku Ismail berkata, setiap wartawan seharusnya menulis berdasarkan fakta dan bukannya emosi.

"Mereka perlu berlaku adil dan memberi ulasan sama rata antara pasukan, bukannya menulis seperti penyokong kepada pasukan lawan. Malangnya, bagi sesetengah orang di Malaysia, ia bukanlah sedemikian.

"Saya terbaca artikel yang dengan rasa tidak bertanggungjawab menggambarkan JDT mendapat bantuan pengadil berkenaan sepakan penalti.

"Saya tidak faham bagaimana artikel seperti ini boleh ditulis dan diterbitkan. Saya tidak dapat mengelak daripada berfikir bahawa terdapat sesuatu agenda di sebalik penulisan cerita sedemikian, yang pada asasnya mencipta sesuatu walaupun tiada apa-apa.

"Adakah penulis tidak memahami bola sepak sehingga tidak dapat membezakan antara keputusan yang betul dan salah oleh pegawai perlawanan?," jelasnya di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail

Beliau mengakui salah satu daripada sepakan penalti sewaktu menentang Terengganu mungkin dilabelkan 'soft'.

"Tetapi mereka yang memahami peraturan bola sepak akan bersetuju bahawa untuk sepakan penalti yang lain, sememangnya ia perlu diberikan kepada JDT.

"Bagaimana boleh dikatakan JDT telah 'dihadiahkan' penalti apabila pasukan lawan telah melakukan kekasaran?.

"Perkataan 'bantuan' juga digunakan sewenang-wenangnya dalam artikel itu.

"Cukup jelas bahawa artikel tersebut ditulis dengan agenda untuk menghasut pembaca membenci JDT," luahnya.

Memetik sebuah akhbar tempatan, JDT dipersoalkan mendapat layanan istimewa daripada pengadil Liga Malaysia selepas merekodkan empat sepakan penalti dalam empat perlawanan setakat ini.

Tunku Ismail, JDT

Artikel Lain