suria

Syed Saddiq sedia cari jalan selesaikan isu pembatalan Perlis dalam Liga Malaysia

Syed Saddiq pada sidang media majlis ‘Flag-off’ pemain Sukan Elektronik FIFA 19. - Bernama

MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedia membantu untuk mencari penyelesaian terbaik bagi pemain bola sepak Perlis ekoran penglibatan pasukan itu dalam Liga Malaysia 2019 dibatalkan.

Katanya walaupun hal berkaitan pemain dan sukan bola sepak terletak di bawah bidang kuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetapi selaku menteri yang menjaga hal ehwal sukan, beliau sedia berkongsi pandangan dengan badan induk bola sepak itu untuk kepentingan pemain.

“Fungsi saya selaku menteri adalah menjaga kebajikan atlet atau pemain, selain menasihati dan berbincang dengan pihak FAM untuk menyelesaikan kemelut yang sering berulang itu.

“Saya lihat FAM juga banyak membantu dalam isu itu, jadi saya yakin kita dapat mencari titik pertemuan untuk membantu mereka yang berkenaan,” katanya mengulas mengenai peranan yang boleh dimainkan beliau dan kementeriannya ekoran kemelut yang melanda pasukan bola sepak Perlis itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain sukan elektronik Fifa 19, Muhamad Luqman Haziq Hajiman yang akan membawa cabaran negara pada kejohanan kelayakan Fifa eWorld Cup di Singapura pada 8 Mac depan.

Pada 20 Februari lepas, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara memutuskan membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai setelah penelitian terhadap dokumen kewangan yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pada 18 Feb mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Syed Saddiq berkata kemelut yang merugikan pemain dan perkembangan sukan bola sepak itu boleh dielakkan jika persatuan berkenaan mempraktikkan pengurusan dan perancangan kewangan yang baik.

Tanpa pengurusan dan perancangan kewangan yang baik, pasukan yang gemar membuat pembelian pemain di awal musim berkemungkinan besar berdepan isu pembayaran gaji yang pastinya situasi itu berlarutan ke hujung musim, katanya. - Bernama

Syed Saddiq

Artikel Lain