suria

Tunggakan gaji: 48 jam tempoh akhir 7 pasukan lengkapkan maklumat tambahan

Kevin Ramalingam

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan sudah mengarahkan kesemua tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji supaya menghantar maklumat tambahan mengenai status kewangan pasukan dalam tempoh 48 jam berkuatkuasa Sabtu.

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Pematuhan MFL, Desmond Dominic Raju selepas mendapati dokumen yang dihantar oleh tujuh pasukan berkenaan masih memerlukan maklumat tambahan untuk menyokong dokumen kewangan masing-masing selepas tarikh tutup semalam.

“Selepas kesemua dokumen yang dikemukakan oleh tujuh pasukan berkenaan diteliti, kami mendapati masih ada maklumat tambahan yang diperlukan. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam dan beliau meminta semua pasukan mengemukakan maklumat tambahan dalam dokumen kewangan yang mereka hantar sebelum ini.

“Semua pasukan diberikan tempoh 48 jam berkuatkuasa hari ini untuk menyediakan maklumat tambahan itu. Selepas tempoh itu, saya akan memaklumkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk penilaian dan keputusan akhir,” katanya.

Berhubung dengan kekeliruan mengenai jumlah pasukan yang sudah menghantar dokumen kewangan, Desmond menjelaskan, pihak MFL tidak meletakkan tempoh masa pada tarikh akhir pada Jumaat.

“Apa yang pihak MFL maklumkan semalam adalah perkembangan setakat jam 5 petang tapi ia bukan tempoh akhir penghantaran dokumen. Selepas itu masih ada dua lagi pasukan yang mengemukakan dokumen.

“Memandangkan kesemua pasukan sudah menghantar dokumen tapi masih perlu melengkapkan maklumat tambahan, jadi kami mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada semua pasukan untuk mengemukakan maklumat tambahan  sehingga tarikh akhir pada Ahad.

“Jadi saya fikir MFL sudah memberi ruang secukupnya untuk mereka mematuhi arahan ini,” katanya.

MFL, Desmond Dominic

Artikel Lain