suria

Bertemu Felda United, ini pesanan Aidil Sharin buat pemain Kedah

Aidil Sharin Sahak.

"KEKUATAN mental." Itu pesanan Aidil Sharin Sahak kepada pemain Kedah yang akan menerima kunjungan Felda United pada Sabtu malam.

Skuad hijau kuning bakal melakukan penampilan pertama di Stadium Darul Aman bagi saingan Liga Malaysia selepas dua perlawanan di tempat lawan.

Walaupun jadual perlawanan itu dianggap 'pelik' bagi penyokong Kedah, namun itulah yang perlu dihadap skuad kesayangan mereka.

Menurut Aidil Sharin, selepas mengharungi dua perlawanan sebelum ini, terdapat pemain yang mudah berada dalam keadaan tertekan apabila diserang lawan.

"Oleh itu saya harap pemain dapat mengawal mental dan beraksi seperti pemain berpengalaman lain seperti Baddrol Bakhtiar dan yang lain apabila berada dalam tekanan. 

"Bukan mudah untuk kita kalahkan Felda United walaupun mereka hanya mengutip dua mata setakat ini. Mereka pasti mahu bangkit dan kita tidak mahu menjadi mangsa.

"Ini perlawanan kita pertama di Stadium Darul Aman dan penyokong berharap pemain dapat menggembirakan mereka dengan tiga mata. Saya juga berharap stadium akan dipenuh dan pemain bakal mendapat sokongan moral sepanjang permainan," katanya.

Beliau menjelaskan, kesemua pemain kini berada dalam keadaan bersedia untuk diturunkan dan barisan kejurulatihan sedang membentuk kesebelasan terbaik.

Menurutnya, adunan pemain berpengalaman dan muda dalam pasukan Kedah akan diberi peluang sewajarnya kerana mereka mempunyai kemampuan yang seimbang.

Aidil Sharin Sahak

Artikel Lain