suria

MFL cadang KFA bawa kes Akhyar ke AIAC

Kevin (tengah) bersalaman dengan Mohd Yusuri (kanan) pada perjumpaan KFA bersama Pengurusan MFL di Menara OBYU pada Khamis. Turut hadir, Shafferi Rejab (kiri). - FotoBERNAMA

PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menasihati Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) agar membawa isu perpindahan kontroversi penyerang muda negara Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini bagi memudahkan proses.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata langkah itu juga selaras dengan perlembagaan MFL yang memperuntukkan isu sedemikian dibawa ke AIAC, bukan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“MFL hanya menjalankan tugas untuk satu daripada pemegang taruh kita iaitu KFA dan kita kena pastikan mereka mendapat maklumat yang betul mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil KFA iaitu Naib Presiden Tiga KFA Mohd Yusuri Yusof dan Anggota Eksekutif KFA Shafferi Rejab di ibu pejabat MFL, di sini Khamis.

Bagaimanapun katanya terserah kepada KFA jika mahu meneruskan hasrat membawa isu tersebut ke CAS dan FIFA.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu perpindahan pemain berusia 19 tahun itu ke Johor Darul Ta'zim (JDT) juga dapat diselesaikan lebih cepat jika dibawa ke AIAC.

Sementara itu, Kevin berkata JDT sudah mendaftarkan nama Muhammad Akhyar dalam senarai awal 20 pemain yang diterima MFL pada Khamis.

Untuk rekod, MFL telah membuka jendela perpindahan pemain bermula 29 November lalu hingga 20 Februari ini namun mewajibkan setiap pasukan menyenaraikan 20 pemain awal bagi proses semakan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial, tunggakan gaji dan cukai pendapatan.

"Sekiranya KFA gagal mengeluarkan surat pelepasan dalam tempoh 14 hari, maka JDT boleh mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan surat berkenaan.

“Namun ini dikira sebagai pendaftaran pemain sementara sebelum dikira sebagai pendaftaran kekal selepas tempoh 90 hari," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Yusuri memaklumkan beliau akan membawa hasil perbincangan pertemuan hari ini termasuk isu perpindahan Muhammad Akhyar kepada pengurusan tertinggi KFA untuk tindakan selanjutnya.

"Kita berharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan kemelut ini dapat ditamatkan," katanya.

Setiausaha Kehormat KFA Mohd Asmirul Anuar Aris sebelum ini dilaporkan berkata bahawa KFA tetap akan membawa kes berkenaan ke CAS dan FIFA kerana tidak yakin FAM dapat membuat keputusan yang adil.

Jawatankuasa Rayuan FAM sebelum ini mengekalkan keputusan bahawa Muhammad Akhyar hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA bagi membolehkan beliau berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya pula harus membayar RM75,000 kepada KFA. - BERNAMA

MFL, KFA, Akyar Rashid, JDT

Artikel Berikut

Artikel Lain