suria

Ronaldo iklankan rumah agam di Manchester cetus spekulasi tidak akan kembali ke Old Trafford

Ronaldo dilaporkan ingin menjual kediamannya di Manchester.

CRISTIANO RONALDO telah mengiklankan rumah agam miliknya di Manchester untuk dijual.

Iklan itu mampu membunuh harapan peminatnya untuk melihat dia kembali ke Old Trafford.

Penyerang Juventus tersebut dipercayai telah membeli rumah mewah berkenaan di Cheshire pada 2006 ketika berada di bawah pimpinan Sir Alex Ferguson.

Rumah yang kini berada di pasaran pada harga £ 3.25 juta (RM17.19 juta) itu dilengkapi lima bilik tidur, kolam renang besar, bilik mandi air panas dan wap, gimnasium, pawagam dan bilik permainan.

Sekiranya Ronaldo berjaya menjual rumahnya, dia mungkin akan mengalami kerugian kerana harga hartanah itu bernilai £ 3.85 juta (RM20.36 juta) ketika dia membelinya lebih sedekad lalu.

Ini bukan kali pertama bintang berusia 33 tahun tersebut cuba menjualnya. Penyerang itu dipercayai telah mengiklankan rumah mewah berkenaan pada 2009 ketika ingin meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid.

Bagaimanapun, rumah agam tersebut tidak dibiarkan tanpa didiami sesiapa.

Luke Shaw menyewa kediaman itu daripada Ronaldo selepas dia menyertai United pada 2014.

Menurut laporan Sun, pemain bek kiri terbabit membayar sewa £7,000 (RM37,000) sebulan kepada Ronaldo.

Iklan hartanah itu dijumpai di kawasan elit Alderley Edge iaitu lokasi di mana kebanyakan pemain bola sepak tinggal.

Kini, Ronaldo memiliki rumah di Itali selepas berpindah ke kelab Juventus. - Daily Mail

Cristiano Ronaldo

Artikel Lain