suria

‘Harimau’ muncul sebelum perlawanan gamatkan suasana di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil

Jai bersedia memberi sokongan buat pasukan negara dalam aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018.

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong bola sepak menampilkan kelainan dengan membuat ‘lukisan badan’ umpama harimau sempena perlawanan final pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Lelaki yang ingin dikenali sebagai Jai Gen2 Kuning, 25, berkata dia melakukan lukisan badan berkenaan bagi membuktikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang menggalas cabaran negara.

“Saya buat body painting ni untuk melahirkan semangat bola sepak dalam diri dan tanda setia saya sebagai anak jati Perak, terhadap Harimau Malaya.

“Game malam ini pasti sengit dan saya di sini untuk memberikan sepenuh sokongan untuk pasukan negara. Saya yakin kita semua akan melihat aksi menarik pemain negara malam ini.

“Saya cuma berharap pasukan negara mendapatkan jaringan dan mengelakkan gawang dibolosi pasukan lawan,” katanya ketika ditemui mStar Online.


Jai meminta pelukis membuat lukisan harimau pada muka dan badannya.

Menurut pemuda kelahiran Bagan Serai, Perak, ini bukan kali pertama dia melakukan lukisan pada badan.

Sebelum ini dia pernah ‘menjadi’ seladang ketika perlawanan Perak menentang Terengganu ketika pasukan itu beraksi di pentas final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Oktober lalu.“Ini bukan kali pertama saya buat body painting. 

Sebelum ini saya pernah jadi seladang untuk game final Piala Malaysia Perak menentang Terengganu 2 bulan lalu.

“Saya dapat nombor telefon pelukis ini daripada kawan saya di Taiping. Dia beritahu saya mereka ini pelukis mural dan boleh buat seperti yang saya nak. 

“Saya terus contact dan kebetulan mereka ada masa untuk lukis badan saya, jadi kami terus berjumpa di Stadium Shah Alam dan saya ‘request’ mereka jadikan saya seladang.

“Saya sangat berpuas hati dengan seni mereka pada malam itu dan untuk Piala AFF Suzuki kali ini, saya meminta mereka lukis Harimau Malaya pula,” ujarnya.

Piala AFF Suzuki 2018

Artikel Berikut

Artikel Lain