suria

Piala AFF: Cheng Hoe mahu ulangi detik manis 2010, akui perlu berhati-hati bertemu Vietnam

Cheng Hoe meraikan kejayaan mara ke final Ahad lalu.

PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe berhasrat mengulangi saat manis negara merangkul trofi Piala AFF Suzuki 2010 menjelang aksi perlawanan akhir tahun ini.

Mengimbas kembali kenangan yang tidak akan dilupakan itu, Cheng Hoe yang kini menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya bertekad untuk membawa balik trofi bermakna itu.

Bezanya lapan tahun lalu, dia bertanggungjawab sebagai penolong ketua jurulatih bagi skuad kebangsaan.

"Saya yakin barisan pemain yang diturunkan nanti mampu memberi kejayaan kepada negara. Biarpun sedar dengan kekuatan pihak lawan Vitenam, tetapi semangat bermain di tempat sendiri merupakan kelebihan kepada kita.

"Aura final pastinya berbeza dan cabaran ini dianggap motivasi kepada semua pemain. Tidak lupa juga sokongan ribuan peminat yang hadir akan membuatkan perlawanan lebih berbeza," jelasnya pada sidang media pra perlawanan, Isnin.

Jelas pengendali kelahiran Kedah berusia 50 tahun itu berharap, kesilapan yang dilakukan pemain ketika saingan kumpulan sebelum ini yang menyaksikan pasukan negara tewas 2-0 kepada Vietnam menjadikan mereka lebih berhati-hati.

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan menjelang final pertama Piala AFF pada Selasa.

"Sejak tahun lalu kita dapat lihat pasukan Vietnam bermain sangat baik. Kita sedar bukan mudah untuk mendapatkan gol kerana tahu barisan pertahanan  mereka sangat tersusun.

"Pemain-pemain kita juga perlu berhati-hati kerana mereka juga sangat pantas. Apa yang penting sekarang kita perlukan gol, baharulah boleh menang.

"Jadi kita akan teruskan cara kita dan ambil kesempatan bermain di tempat sendiri," tambahnya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe memberitahu persiapan untuk ke final berjalan lancar dan mental pemain semua dalam keadaan bersedia.

"Kekalkan momentum seperti beraksi di Bangkok minggu lalu walaupun beberapa pemain belum pulih sepenuhnya.

"Kita akan terus pantau dua pemain, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Syazwan Andik yang masih belum dapat menyertai latihan. Yang penting siapa sahaja yang diturunkan esok akan dapat memberi semangat yang sama," tambah Cheng Hoe.

Malaysia bakal menentang Vietnam pada perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil pada 11 Disember manakala aksi kedua di Hanoi, Sabtu ini.

Untuk rekod, Malaysia layak ke final buat kali keempat sejak kejohanan dwi tahun ini berlangsung pada 1996, dan merupakan perebutan trofi kali kedua setelah muncul juara 2010.

Skuad Harimau Malaya menyingkirkan juara bertahan Thailand dengan keputusan seri 2-2 sekaligus layak mengikut peraturan di tempat lawan.


Piala AFF, Tan Cheng Hoe

Artikel Sebelum

Artikel Lain