Piala AFF Suzuki: Tiket final dijual online esok, penyokong Harimau Malaya di Bangkok "sila simpan tiket" - Sukan | mStar

Piala AFF Suzuki: Tiket final dijual online esok, penyokong Harimau Malaya di Bangkok "sila simpan tiket"

Sebahagian penyokong Malaysia di Bangkok pada aksi separuh akhir kedua, Rabu malam. Foto:AP

PETALING JAYA: Perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara pasukan Malaysia menentang Filipina atau Vietnam bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember ini.

'Ekor' yang tentunya setia bersama Harimau Malaya pastinya tidak sabar untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir akan mula dijual secara atas talian bermula pagi Jumaat (7 Disember).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam memberitahu tiket aksi Final 1 ini hanya akan mula dicetak di Bangkok, Thailand oleh syarikat tiket dilantik Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) selepas keputusan satu lagi aksi Separuh Akhir 2, Vietnam lawan Filipina di Hanoi, malam ini diketahui.

"Mengikut jadual, tiket yang siap dicetak dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu, 8 Disember 2018, sekali gus ia hanya boleh mula dijual secara fizikal pada pagi Ahad ini (9 Disember 2018), itu pun jika tiada sebarang kelewatan penerimaan tiket tersebut.

"Bagaimanapun, sama seperti sebelum ini, FAM meneruskan inisiatif untuk memudahkan urusan penyokong membeli tiket lebih awal dengan penjualan secara online di www.tickethotline.com.my yang akan mula dibuka pagi esok.

"Sama juga seperti aksi bertemu Thailand, kuota bagi penjualan tiket secara online untuk Final 1 ini adalah sebanyak 40,000 keping iaitu 20,000 keping akan dijual pada Jumaat bermula 9 pagi (sehingga habis) dan 20,000 keping akan dijual pada Sabtu bermula 9 pagi (sehingga habis)," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara baki 40,000 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal bermula Ahad ini dan lokasi-lokasi penjualannya akan dimaklumkan kelak.

"Mengenai penetapan harga tiket pula, jika diimbas empat tahun lalu, harga tiket bagi Final 2 Piala Suzuki AFF 2014, Malaysia bertemu Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil ketika itu adalah RM50 bagi tempat duduk terbuka dan RM10 bagi tiket kanak-kanak.

"Mengambil kira semangat yang sama ketika aksi Separuh Akhir 1 bertemu Thailand tempoh hari apabila FAM mengenakan harga tiket lebih rendah daripada edisi 2014, untuk aksi Final 1 pada Selasa ini, FAM sekali lagi mengambil pendekatan sama dengan menetapkan harga tiket yang lebih rendah berbanding empat tahun lalu supaya ia tidak terlalu membebankan penyokong Harimau Malaya.

"Harga tiket bagi Final 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini ditetapkan RM40 bagi tempat duduk terbuka (RM10 lebih murah berbanding tiket 2014) dan RM5 bagi tiket kanak-kanak (RM5 lebih murah berbanding tiket 2014). Satu lagi kategori tiket yang diperkenalkan untuk Final 1 kali ini ialah tiket RM50 bagi tempat duduk grandstand," ujarnya.

Dalam pada itu, Stuart turut meluahkan penghargaan kepada penyokong Harimau Malaya yang telah hadir ke Stadium Rajamangala, Bangkok pada Rabu.

"FAM sememangnya sangat menghargai komitmen dan kegigihan anda semua. Sila simpan keratan tiket Separuh Akhir 2 bertemu Thailand malam tadi kerana FAM sedang berbincang untuk memberikan 'keutamaan' kepada anda semua dalam proses membeli tiket Final 1 ini. Nantikan pengumuman rasmi mengenainya," katanya.

Dalam pada itu, Final 2 akan berlangsung di tempat lawan, sama ada di Hanoi atau Bacolod City pada Sabtu, 15 Disember 2018.

Bagi penyokong Harimau Malaya yang berminat untuk pergi menyaksikan perlawanan tersebut, sama seperti sebelum ini, FAM akan menguruskan urusan pembelian tiket untuk perlawanan di tempat lawan itu dan maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan kemudian.

FAM , Tiket final

Artikel Sebelum

Mohd Zan dilantik ketua jurulatih skuad rusa

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel