suria

Mohd Zan dilantik ketua jurulatih skuad rusa

SEREMBAN: Bekas ketua jurulatih Melaka United Mohd Zan Mat Aris, 60, dilantik sebagai Ketua Jurulatih Negeri Sembilan yang baharu bagi membimbing Skuad Rusa menghadapi Liga Perdana musim depan.

Bekas ketua jurulatih Sarawak Mohamad Zaki Sheikh Ahmad, 59, pula dilantik sebagai Penolong Ketua Jurulatih Negeri Sembilan yang baharu.

Majlis menandatangani kontrak perjanjian antara Mohd Zan dan Mohamad Zaki bersama Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) berlangsung di Wisma PBNS di sini, Khamis.

Kontrak Mohd Zan dan Mohamad Zaki yang kedua-duanya  berasal dari Negeri Sembilan adalah untuk tempoh setahun mulai 1 Disember lepas.

Turut hadir ialah Presiden PBNS Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tuanku Syed Idrus Al-Qadri dan pengurus pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan Mohd Khairollah Abd Latif.

Tunku Syed Razman berkata pelantikan kedua-dua mereka adalah berdasarkan kepada pengalaman luas mereka sebagai bekas pemain kebangsaan dan juga jurulatih.

"Hala tuju Negeri Sembilan untuk tempoh dua tiga tahun ini adalah lebih tertumpu mengembangkan bola sepak di peringkat akar umbi memandangkan Negeri Sembilan beraksi di Liga Perdana musim depan,” katanya.

Beliau berkata sejajar dengan matlamat itu PBNS akan lebih fokus kepada program untuk mengambil pemain tempatan dalam kalangan anak-anak Negeri Sembilan sendiri untuk mewakili pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia.

“Setakat ini kita mempunyai 12 pemain lama yang masih mempunyai kontrak dan terpulang kepada Mohd Zan dan Mohamad Zaki untuk menentukannya pengambilan pemain baharu yang lain dalam membentuk sebuah pasukan mantap dalam saingan Liga Perdana musim depan.

"Manakala pengambilan pemain import pula adalah mengikut kemampuan kewangan kita. Tentang penaja, ia masih dalam rundingan dan kita harap akan membuahkan hasil yang menggalakkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zan berkata 12 pemain Negeri Sembilan yang sedia ada kebanyakannya adalah pemain muda dan ini merupakan satu cabaran bagi beliau untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.

"Tetapi bagi saya kebolehan dan semangat pemain itu yang paling penting. Jadi, saya tak boleh janji kita akan pergi ke Liga Super tapi yang penting saya akan membentuk sebuah pasukan yang mantap yang akan memberi cabaran kepada pasukan lain dalam Liga Perdana musim depan.

"Perancangan kita ialah kita nak gilap pemain muda, jadi, kita kena ambil aspek itu. Ramai pemain tempatan yang telah menghubungi saya, tapi saya kena tengok kebolehan pemain tersebut sebelum mereka diserapkan dalam pasukan.

"Dengan pemilihan pemain-pemain berkualiti dan perancangan yang betul, saya yakin kita boleh beri cabaran kepada pasukan lain," katanya.- Bernama

Artikel Lain