suria

JDT nafi bawa masuk Akhyar Rashid

Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

KUALA LUMPUR: Pengarah teknikal Johor Darul Ta'zim (JDT), Alistair Edwards menyangkal tuduhan kononnya kelab itu berminat untuk menandatangani kontrak dengan pemain prolifik Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid tanpa persetujuan Kedah FA.

Edwards, bagaimanapun, mendedahkan bahawa juara Liga Super itu , tidak menawarkan apa-apa kontrak kepada pemuda berbakat berusia 19 tahun itu kerana mereka sedar bahawa pemain tersebut masih dalam kontrak dengan Kedah FA sehingga akhir tahun depan.

“Kami kesal dengan tuduhan itu hanya kerana seorang pemain mahu menamatkan kontraknya. Sekiranya Akhyar tidak terikat, dia bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang dia mahu termasuk JDT,” katanya dipetik sebagai berkata dalam catatan terkini dalam halaman facebook JDT, ‘Johor Southern Tigers'.

Beliau menjawab beberapa laporan berita bahawa Muhammad Akhyar ingin menamatkan kontrak dengan kelabnya sekarang memandangkan beberapa kelab kini berminat untuk mendapatkan perkhidmatannya berikutan prestasinya yang luar biasa dengan skuad senior negara dan juga skuad muda kebangsaan termasuk skuad bawah 19 tahun.

Muhammad Akhyar membawa kesnya itu ke Persatuan Bola Sepak Malaysia, beberapa hari lalu selepas beliau dan FA Kedah gagal mencapai persetujuan dan FAM dijangka membuat keputusan tidak lama lagi. - BERNAMA

Akhyar Rashid, JDT

Artikel Berikut

Artikel Lain