suria

Tengku Amir kecewa dengan tindakan anggota FAS

Tengku Amir Shah

SHAH ALAM: Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan tindakan sebahagian ahli gabungan FAS yang enggan bersemuka dengan beliau bagi menyelesaikan isu berbangkit yang melanda persatuan itu.

Tengku Amir berkata beliau telah memanggil dan memberi peluang kepada pihak berkenaan untuk bertemu dengannya bagi menyelesaikan perkara berkaitan, namun mereka gagal berbuat demikian.

“Saya hantar surat pun mereka tak datang, berapa kali lagi kita nak panggil (mereka),” kata Tengku Amir dalam satu sidang media di Istana Mestika di sini, Sabtu.

Tengku Amir, yang juga Raja Muda Selangor berkata demikian ketika mengulas berhubung tindakan sebahagian anggota persatuan yang menganjurkan Kongres Luar Biasa (EGM) bertujuan melantik anggota jawatankuasa yang baharu bagi badan induk berkenaan, Khamis lepas.

“Itu (penganjuran EGM ) hanya nak buat kacau…nak rebut jawatan, main politik, dan kita tiada masa untuk benda ini. Ini adalah EGM tidak sah sebab tidak ikut peraturan, Saya tidak beri persetujuan apa yang berlaku (pada EGM itu),” katanya.

Ketika ditanya mengenai sebarang tindakan tatatertib yang bakal diambil terhadap anggota gabungan terbabit, Tengku Amir berkata pihaknya akan merujuk kepada prosedur FAS sebelum membuat sebarang keputusan.

“Yang penting kita kena ikut status FAS sekarang, kita perlu bincang dengan peguam dan FAS, dan kita akan ikut prosedur, tetapi fokus kita sekarang kita mahu cari penaja, yakinkan penaja dan perbaiki FAS,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Amir berkata beliau juga tidak mengambil serius terhadap desakan sesetengah pihak yang mahu beliau melepaskan jawatan sebagai presiden FAS.

“Saya akan terus bersama FAS, semangat saya bersama FAS. Saya tidak mahu buang masa dengan isu seperti ini…saya mahu fokus kepada bola sepak,” tambahnya.

Kongres tersebut menyaksikan semua jawatan termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan 13 anggota exco FAS menang tanpa bertanding bagi penggal 2017-2021.

Kongres itu turut mengekalkan Tengku Amir sebagai peneraju FAS, namun melakukan perubahan besar bagi jawatan-jawatan lain termasuk timbalan dan naib presiden.- Bernama

FAS, Tengku Amir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain