suria

Isu lesen Liga-M: Kafa jumpa FAM Isnin ini

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan isu berkaitan lesen untuk menyertai Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden KAafa Bibi Ramjani Ilias Khan berkata beliau sendiri akan mengetuai delegasi pertemuan itu dengan FAM bagi menyelesaikan beberapa masalah yang menyebabkan KAFA sehingga kini masih belum mendapat kelulusan untuk mendapatkan lesen berkenaan.

"Kami sedang meneliti syarat-syarat yang perlu dilengkapkan oleh Kafa bagi membolehkan The Red Warriors (TRW) dapat beraksi pada Liga-M musim depan," katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan Kafa Kali Ke-64 di sini, Sabtu.

Terdahulu, pada kongres tersebut anggota gabungan sebulat suara melantik Lizawati Abu Bakar yang merupakan exco wanita pertama Kafa bagi menggantikan Nubli Ab Latif yang meninggal dunia pada 18 Ogos lepas.

FAM sebelum ini dalam satu kenyataan menerusi lawan sesawang rasminya menjelaskan pasukan Liga Super 2018 iaitu Kelantan FA telah ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana gagal menepati kriteria yang ditetapkan.

FAM, dalam kenyataan sama berkata bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Mengulas lanjut Bibi Ramjani berkata isu berkaitan lesen menjadi bebanan yang sukar oleh pihak Kafa walaupun mengakui ia perlu diselesaikan dengan segera.

"Mungkin lesen tidak diluluskan kerana tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terhadap beberapa pemain.

"Kalau penyokong gusar, saya lebih daripada itu kerana ia melibatkan nasib pasukan dan kami perlu  berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.- Bernama

Kafa, Bibi Ramjani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain