suria

'Wild Boars' lawat kelab River Plate di Argentina

BUENOS AIRES: Pemain bola sepak remaja Thailand, yang diselamatkan secara dramatik dari sebuah gua selepas terperangkap selama 9 hari bersama jurulatih mereka dan menjadi tumpuan seluruh dunia, telah melawat kelab terkenal Argentina, River Plate, pada Ahad.

Di padang lebih kecil dalam stadium pasukan tuan rumah itu, pemain remaja terbabit berpeluang mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bawah 13 tahun kelab River Plate.

"Mereka masuk ke bilik persalinan dan menemui jersi alternatif kelab River Plate berwarna ungu yang tertera nama masing-masing, dan mereka kelihatan amat teruja," kata ketua unit perhubungan awam River Plate, Adrian Varela, kepada media.

"Kami terpisah oleh perbezaan bahasa namun mereka menzahirkan penghargaan dengan isyarat badan dan tidak seorangpun daripada kami akan melupakan detik itu," kata Varela.

Pasukan bola sepak remaja Thailand itu, yang dikenali sebagai Wild Boars, adalah tetamu kehormat Sukan Olimpik Remaja yang dihoskan oleh Buenos Aires, dan turut mengambil bahagian dalam upacara pembukaan pada Sabtu.

Kesemua remaja terbabit menjadi tumpuan dunia apabila terperangkap dalam sebuah gua bersama-sama jurulatih mereka di wilayah Chiang Rai pada 23 Jun, selepas hujan lebat memutuskan laluan ke pintu masuk.

Pasukan penyelamat antarabangsa, termasuk pakar penyelam gua, akhirnya berjaya membawa mereka keluar pada 10 Julai, namun terpaksa berdepan operasi menyelamat yang sering diancam hujan lebat.

Temasya sukan olimpik remaja itu berlangsung dari 6 Oktober hingga 18 Oktober. - BERNAMA

Wild Boars, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Lain