suria

Peminat cilik menangis gara-gara Mo Salah

SEWAKTU aksi saingan antara Liverpool dan Southampton, tindakan Mohamed Salah di penghujung perlawanan ternyata menyentuh hati ramai pihak.

Manakan tidak, tindakan Salah yang memenuhi impian seorang peminat cilik sehingga membuatkan kanak-kanak berusia lapan tahun itu mengalirkan air mata ternyata menarik perhatian ramai.

Kanak-kanak itu hadir menyaksikan perlawanan sambil memegang kertas yang bertulis mesej mengenai keinginannya untuk memiliki jersey Salah.

Tanpa berfikir panjang, pemain sensasi itu menghampiri tempat duduk penonton sebelum menyerahkan jersey berwarna merah.

Video pendek sekitar 30 saat itu memaparkan bagaimana kanak-kanak itu menangis kegembiraan setelah menerima pemberian Salah.

Malah, video itu menjadi tular dan mendapat perhatian ramai sehingga dikongsi lebih 5,000 kali di Twitter.

Tweet yang dimuat naik turut dibalas dengan emoji oleh Salah.

Ramai yang berpendapat bahawa dia bukan sekadar juara di gelanggang malah turut menjadi juara di hati peminat kerana kebaikan yang dipaparkannya.

Bapa kepada kanak-kanak itu turut mengucapkan terima kasih kepada Salah menerusi laman Twitter miliknya.

"Saya tak tahu macam mana nak ucap terima kasih... Salah membuat saya dan anak saya menangis.

"Ini adalah detik yang bernilai, hari yang saya dan anak saya tak akan lupakan," tulisnya.

Salah turut membalas Tweet berkenaan dengan emoji senyum dan emoji berbentuk hati.

Dalam perlawanan itu, Salah membantu pasukannya menewaskan Southampton dengan jaringan 3 berbalas kosong di Anfield.- Mirror.

Mohamed Salah, Liverpool

Artikel Lain