suria

Penyerang kurang pengalaman punca Kelantan gagal jaring gol

Pemain Kelantan Mohamad Sharil Nizam dihalang pemain MIFA pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat malam. fotoBERNAMA

KOTA BHARU: Penyerang kurang berpengalaman antara faktor Kelantan gagal manfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri apabila sekadar memperoleh keputusan seri 0-0 pada aksi Piala Malaysia peringkat kumpulan C menentang MISC-MIFA di Stadium Sultan Muhammad lV, Jumaat malam.

Ketua jurulatih Kelantan Yusri Che Lah berkata walaupun pasukannya menguasai perlawanan dengan mencipta banyak peluang menghasilkan gol, namun kekurangan pengalaman penyerang menjadi penghalang untuk mereka menjaringkan gol.

"Pemain yang kurang pengalaman membataskan keinginan pasukan untuk menang pada malam ini, kami sepatutnya ada jaringan seawal minit perlawanan, namun gagal diterjemahkan oleh penyerang," katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut, Jumaat malam.

Setelah mengharungi lima perlawanan peringkat kumpulan C, Kelantan berada pada kedudukan tercorot dengan hanya satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan, sekali gus mengumpul lima mata dan perlu menang menentang Kedah pada perlawanan akhir bagi menghitung nasib untuk layak ke suku akhir.

Bagaimanapun Yusri berkata keseluruhan pemain menunjuk komitmen dan disiplin tinggi pada perlawanan tersebut.

"Saya tahu semua penyokong dan pihak pengurusan dahagakan jaringan, saya harap perlawanan terakhir nanti (bertemu Kedah) penyerang kami lebih bermotivasi dan cuba akhiri perlawanan itu dengan keputusan tiga mata penuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji barisan pertahanannya yang bekerja keras mengelakkan gawang daripada dibolosi.

"Walaupun masih ada ruang dan peluang untuk Kelantan mendapat tempat ke peringkat seterusnya, namun saya tidak suka mengharap kepada pasukan lain (bergantung nasib).

"Saya mahu pemain saya lakukan sesuatu yang dapat membantu pasukan melangkah ke slot itu dengan selesa," katanya. - BERNAMA

MISC-MIFA, Kelantan

Artikel Berikut

Artikel Lain