suria

Skuad badminton negara gagal bawa pulang sebarang pingat

JAKARTA: Skuad badminton negara menamatkan kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang dengan rekod buruk selepas gagal menyumbang sebarang kilauan pingat buat kontinjen Malaysia.

Mengakhiri cabaran negara adalah dua pasangan beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas kedua-duanya kecundang di tangan pasangan Indonesia pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Istora Senayan di sini, Ahad.

V Shem-Wee Kiong tewas tipis 22-20, 21-19 dalam aksi selama 33 minit kepada gandingan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya sementara Yew Sin-Ee Yi gagal menyaingi kehabatan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

“Tiada apa lagi yang kami ingin katakan kerana kami sudah berikan yang terbaik. Kami berusaha keras di luar dan di dalam gelanggang, namun keputusan kali ini tidak berpihak kepada kami.

“Kami ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan mendoakan kejayaan kami di sini. Kami tahu keputusan ini bukan apa yang semua inginkan tetapi kami telah berjuang sedaya upaya,” kata Wee Kiong kepada media Malaysia selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, Malaysia yang menyasarkan untuk membawa pulang dua pingat tanpa mengira warna memulakan cabaran dengan langkah kiri selepas tewas 0-3 kepada Jepun pada pusingan pertama acara lelaki berpasukan.

Kem badminton negara terus mempamerkan aksi buruk dalam acara beregu campuran selepas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying-Chang Peng Soon dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terkandas seawal pusingan kedua.

Prestasi hambar itu diteruskan dalam acara beregu wanita dan perseorangan lelaki apabila gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta dua pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren dan Lee Zii Jia gagal melangkah ke pusingan suku akhir. - Bernama

Sukan Asia 2018

Artikel Sebelum

Artikel Lain