suria

Mehmet nafi kembali latih Selangor

Mehmet Durakovic.

IPOH: Pengendali Perak, Mehmet Durakovic menafikan desas-desus beliau akan kembali mengemudi skuad Selangor pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Beliau berkata tumpuannya kini hanya terarah kepada skuad The Bos Gaurus yang sedang mengharungi kempen Piala Malaysia.

"Sememangnya saya tidak akan ke mana-mana (berhijrah) dan fokus saya adalah untuk membawa Perak ke perlawanan akhir sepertimana sasaran pasukan sebelum ini," katanya pada sidang media di Stadium Perak, di sini, malam Sabtu.

Pada 10 Ogos lalu, khabar angin berkaitan penghijrahan bekas pemain legenda The Red Giants itu bertiup kencang susulan kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon yang mengesahkan empat calon jurulatih berada dalam radar persatuan.

Dalam kenyataan sama, Johan juga tidak menafikan bahawa Mehmet yang pernah membawa Selangor menjulang Piala Malaysia pada 2015, merupakan seorang daripada empat calon jurulatih tersebut.

Sementara itu, Mehmet berkata kehilangan pemain utama akibat kecederaan merupakan punca Perak tumpas 3-4 kepada Terengganu di Stadium Perak, malam Sabtu.

Katanya, Perak yang turun tanpa dua tonggak utama pasukan iaitu Mohd Shahrul Saad dan Mohd Nasir Basharuddin, seakan kaku dan melakukan banyak kesilapan mudah sehingga membenarkan empat gol dihasilkan Terengganu.

"Kita bermula baik pada 20 minit awal permainan namun selepas Terengganu memperoleh dua penalti dalam babak pertama menyebabkan rentak perlawanan berubah.

"Saya juga tak menafikan ketiadaan Shahrul dan Nasir memberi impak besar kepada pasukan dalam mengimbangi rentak agresif yang dipamerkan Terengganu," katanya.

Pada pertemuan yang berlangsung, tiga gol Perak dijaringkan oleh pemain import, Wander Luiz Junior pada minit ke-85 dan 89 selain Leandro Santos di minit ke-90.

Manakala empat jaringan Terengganu dihasilkan oleh Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-8, Lee Andrew Tuck minit ke-45, Chanthacheary Bin di minit ke-57 dan Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-81.

Katanya, kekalahan itu juga tidak sesekali mematahkan semangat pasukan selain optimis kemenangan akan dapat dicapai pada pertemuan dengan Kuala Lumpur di Stadium Cheras, 19 Ogos depan.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, walaupun gembira pasukannya berjaya merakamkan kemenangan namun beliau agak kecewa dengan aksi yang ditonjolkan beberapa pemainnya sehingga membenarkan Perak menjaringkan tiga gol dalam tempoh lima minit akhir perlawanan.

Katanya, kelemahan itu akan diatasi secepat mungkin selain berharap momentum kemenangan akan dapat dikekalkan pada pertembungan menentang Felcra FC di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, 18 September ini. - BERNAMA

Mehmet, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain