suria

PBJ usul Kafa buat sidang tergempar

PERSATUAN Bola Sepak Jajahan (PBJ) mengusulkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) supaya mengadakan satu sidang tergempar bagi membincangkan kemelut yang melanda badan induk itu ketika ini.

Setiausaha PBJ Pasir Mas, Mohd Adnan Abd Rahman berkata, selaku ahli gabungan, pihaknya berhak mendapat maklumat tepat berikutan pelbagai isu terutama corak pentadbiran Kafa mula dipersoalkan sehingga mengundang persepsi buruk.

“Kafa perlu ambil langkah proaktif mengadakan perjumpaan bersama PBJ dengan segera kerana apa yang saya perhatikan sekarang isu ini cukup besar sehingga menjadi bualan hangat di akhbar dan laman sosial.

“Kafa kena perjelaskan secara terperinci kepada PBJ kerana kami tidak mendapat gambaran penuh apa sebenarnya yang berlaku dalam persatuan ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Kafa berdepan krisis dalaman susulan peletakan jawatan dua Naib Presidennya, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim yang mendakwa badan itu dikendalikan sendirian Presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan dengan mengetepikan peranan exco persatuan berkenaan.

Dalam masa sama, Mohd Adnan berkata, adalah tidak relevan bagi PBJ untuk mendesak Kafa mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kerana exco persatuan itu sebenarnya mempunyai kuasa berbuat demikian.

“Salah untuk kami desak adakan EGM kerana yang berhak buat keputusan ini adalah ahli majlis. Kalau tak puas hati, mereka boleh letak jawatan dan buat keputusan beramai-ramai supaya diadakan EGM, bukan desakan ini datang daripada kami.

“Kalau kita pergi terus kepada Kafa minta diadakan EGM, rasanya tidak adil. Buat dulu perjumpaan, kita bersoal jawab dan selepas itu mungkin barulah kita boleh cadangkan sama ada perlu panggil mesyuarat luar biasa atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PBJ Gua Musang, Ruhaled Abd Hamid turut senada sambil menjelaskan belum tiba masa untuk Kafa mengadakan EGM bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

“Semua pihak tak perlu panik kerana dalam kemelut ini, Bibi patut diberi peluang jelaskan perkara sebenar. Buat masa sekarang tak perlu EGM, tapi Kafa kena panggil PBJ beri penerangan.

“Kita sokonglah panggil semua PBJ kerana kita boleh mendapat maklumat terus daripada Presiden Kafa dan dalam pertemuan ini juga kita boleh utarakan pandangan ahli gabungan,” katanya.

Kafa, Bibi Ramjani, PBJ

Artikel Sebelum

Liew Daren langkah kanan

Artikel Berikut

Artikel Lain