suria

Polis siasat ugutan bunuh Karius

LONDON: Polis kini menyiasat ancaman bunuh terhadap penjaga gol Liverpool, Loris Karius, selepas kesilapan yang dilakukannya menghadiahkan kemenangan 3-1 kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA di Kiev pada Sabtu, lapor agensi berita China Xinhua.

Penjaga gol muda Jerman itu telah dipersalah oleh kebanyakan peminat Liverpool kerana gagal menyelamatkan gawang daripada dibolosi, yang turut menyaksikan seorang pengulas sukan menyifatkan aksi beliau sebagai "budak sekolah." 

Akhbar Liverpool Echo melaporkan bahawa beratus-ratus mesej eksplisit di media sosial sedang disiasat oleh Polis Merseyside.  

ARTIKEL BERKAITAN: Karius diugut bunuh

Karius dan keluarganya menjadi subjek mesej berbaur kebencian selepas kesilapan beliau ketika perlawanan menentang Real Madrid berakhir dengan kekalahan Liverpool.

Antara hantaran berbentuk ancaman yang agak ekstrem ditujukan kepada teman wanita Karius berbunyi, "Saya harap anda mendapat kanser." 

Polis Merseyside berkata mereka sedang meneliti kesemua mesej dan menganggap ia sebagai perkara yang memerlukan tindakan segera.

Karius kelihatan kecewa selepas perlawanan itu.

"Polis Merseyside ingin mengingatkan pengguna media sosial bahawa sebarang kesalahan termasuk komunikasi yang berniat jahat dan tingkah laku bersifat mengancam akan disiasat." 

Karius telah menghantar beberapa mesej dalam media sosial untuk memohon maaf kepada rakan sepasukan dan peminat Liverpool yang berbunyi, ''Saya telah merosakkannya dengan melakukan dua kesilapan dan telah mengecewakan anda semua." 

Dalam mesej kedua Karius berkata: "Kami merasakan bahawa kami mampu menewaskan Real Madrid kerana kami memiliki begitu banyak pengalaman.

" Sementara itu, satu petisyen dalam talian bermula di Britain bagi menggesa agar pemain Real Madrid, Sergio Ramos, dihukum kerana "dengan sengaja" mencederakan bintang Liverpool, Mo Salah, telah menerima lebih 150,000 tandatangan.

Salah telah dikejarkan ke hospital apabila dikasari 30 minit selepas perlawanan bermula, menyebabkan ramai peminat Liverpool mendakwa kecederaan itu kelihatan seolah-olah disengajakan. - Bernama

Loris Karius

Artikel Lain