suria

Karius diugut bunuh

POLIS menjalankan siasatan terhadap ugutan bunuh yang diterima penjaga gol Liverpool, Loris Karius di laman sosial selepas dia dipersalahkan ketika pasukannya tumbang kepada Real Madrid di final Liga Juara-Juara.

Walaupun sudah memohon maaf di atas kesilapannya selepas perlawanan, tetapi ia gagal menghalang peminat Liverpool meluahkan kemarahan dan memberi ancaman termasuk kepada keluarganya.

Ada beberapa kenyataan yang disiarkan berharap Karius akan mati kerana barah, manakala ada yang menulis: “Saya harap seluruh keluarga kamu mati’ dan ada seorang yang memuat naik “Saya akan bunuh teman wanita kamu’.

Karius bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dua gol yang diraih Real ketika menang 3-1 ke atas Liverpool di Kiev.

Pemain Jerman berusia 24 tahun itu membaling bola dan dihalang penyerang Real, Karim Benzema sebelum bola melantun masuk ke gawang untuk gol pertama.

Bukan itu sahaja, malah Karius juga gagal menampan dengan kemas rembatan Gareth Bale sekali gus memberi gol ketiga Real.

Jurucakap Polis Merseyside berkata, mereka akan menjalankan siasatan ke atas gangguan berkenaan.

“Kami beranggapan semua kenyataan di media sosial yang bersifat mengancam itu sebagai sesuatu yang serius. Setiap kesalahan yang dikenal pasti akan disiasat.

“Polis Merseyside mengingatkan pengguna media sosial bahawa apa saja kesalahan termasuk komunikasi berniat jahat dan perlakuan yang mengancam akan disiasat," katanya.-SinarHarian







Karius, Liverpool

Artikel Lain