suria

Peng Soon-Liu Ying mara suku akhir Terbuka New Zealand

Gambar fail Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meneruskan aksi cemerlang mereka ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand di Auckland, New Zealand, Khamis.

Pasangan pilihan kelapan kejohanan itu menumpaskan  Shivam Sharma-Poorvisha S. Ram dari India, 21-16 dan 21-14 dalam pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di North Shore Events Centre, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia,  www.bwfbadminton.com.

Peng Soon, yang kemudian bergandingan dengan Chen Tang Jie dalam  beregu lelaki mengejutkan beregu pilihan keenam kejohanan, Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso dari Indonesia, 21-19 dan 22-20.

Bagaimanapun, beregu wanita negara, Goh Yea Ching-Vivian Hoo Kah Mun terkeluar daripada kejohanan selepas tewas 19-21 dan 17-21 kepada gandingan pemain Jepun,  Arisa Higashino-Kie Nakanishi.

Kemaraan pemain perseorangan lelaki negara juga terhenti, selepas pemain  yang masih tinggal beraksi untuk Malaysia, Liew Daren kalah kepada pemain pilihan ketiga  B. Sai Praneeth dari India, 18-21 dan 17-21. - Bernama

Chan Peng Soon, Goh Liu Ying

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain