suria

Kuantan FA akhirnya dapat semua ‘0’

PETALING JAYA: Kini hanya tinggal 11 sahaja pasukan bakal meneruskan saingan memburu trofi Liga Premier Malaysia 2018 musim ini.

Ini berikutan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memutuskan untuk mengeluarkan Kuantan FA dari senarai jadual perlawanan dan juga kedudukan liga selepas digugurkan dari saingan Liga Malaysia 2018 berkuatkuasa Sabtu lalu.

"Ini bermakna hanya 11 pasukan sahaja yang akan bertanding sehingga penghujung musim 2018," demikian menurut kenyataan MFL.

Jelas MFL lagi, kesemua jaringan gol, jumlah mata dan juga perlawanan yang telah berlangsung membabitkan Kuantan FA tidak akan dikira.

"Jumlah gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan akan dikira sebagai kosong," katanya.

Bagaimanapun MFL berkata, apa jua kesalahan atau hukuman yang dikenakan membabitkan pasukan itu akan dikekalkan.

"Bagi kesalahan Organisasi Teknikal Pertandingan (OTP), perkara tatatertib termasuk pengumpulan kad kuning dan perintah keluar padang (kad merah) akan berkuatkuasa seperti biasa," katanya.

Kuantan FA sebelum ini pernah bertemu Sarawak, MIFA, UiTM FC, UKM FC, Felda United FC, Pulau Pinang dan PDRM.

MFL pada Sabtu lalu memutuskan untuk menggugurkan Kuantan FA dalam saingan Liga Malaysia 2018 berkuatkuasa serta-merta.

Menurut MFL, keputusan itu dibuat selepas mendapati pasukan terbabit melanggar peraturan pertandingan dan perlembagaan MFL kerana tidak hadir dalam perlawanan bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, malam Ahad lalu.

Kuantan FA, Liga Premier 2018

Artikel Berikut

Nidzam Adha dalam dilema

Artikel Lain