suria

Atlet negara perlu contohi dedikasi Chong Wei - Newenham

GOLD COAST: Pengarah Program Podium, Tim Newenham, menyifatkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, antara atlet paling berdedikasi yang sentiasa memberi komitmen dan persembahan terbaik untuk negara.

Walaupun, usia kini menjangkau 36 tahun tahun ini, beliau berkata Chong Wei masih lagi komited  dalam latihan sehingga mampu terus bersaing di pentas dunia.

“Apabila dia pulang daripada Sukan Olimpik Rio pada 2016, dia merupakan antara atlet Malaysia pertama memulakan latihan dan ia adalah dedikasi yang sebenar. Chong Wei adalah atlet yang menakjubkan.

“Dia meneruskan perjuangannya  dalam dunia sukan menerusi disiplin dan dedikasi serta masih fokus terhadap tugasan yang diberikan kepadanya. Saya yakin dia akan memberikan yang terbaik di Sukan Asia nanti,” katanya pada sidang media pada Khamis.


Menurutnya, Chong Wei tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan rentak dalam memburu kejayaan mahupun menamatkan kariernya.

Justeru, beliau menggesa atlet lain supaya mencontohi keazaman, komitmen dan dedikasi jaguh badminton itu.

Newenham juga mengulas persembahan hambar atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dalam final semalam, sambil menjelaskan pihaknya akan menilai situasi atlet berkenaan dan mengkaji punca kegagalannya beraksi dengan baik.

“Kami akan melihat aspek teknikal dan fizikal. Kami bercakap dengan jurulatihnya dari Australia, Alex Stewart, yang menyatakan Nauraj cukup bersedia sebelum acaranya bermula malah dia berasa selesa,” katanya.

Nauraj hanya mampu mencatatkan lompatan setinggi 2.18m untuk menghuni  tangga ke-10, jauh sekali daripada rekod kebangsaan 2.30m miliknya.

Beliau berkata kajian semula terhadap atlet berkenaan bukan sahaja berdasarkan keputusan tetapi juga komitmen, gaya hidup, diet dan perkara-perkara lain sebelum perubahan dalam program latihan dilakukan bagi persediaan menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini.- Bernama

Lee Chong Wei, Tim Newenham

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain