suria

Walau tanpa pingat, Shah Firdaus cipta sejarah!

Muhammad Shah Firdaus Sahrom. Foto AP

BRISBANE: Biarpun pulang dengan tangan kosong, Muhammad Shah Firdaus Sahrom boleh berbangga dengan pencapaian pada Sabtu apabila muncul pelumba berbasikal trek pertama Malaysia yang berjaya layak ke pusingan penentuan pingat dalam acara pecut di temasya Sukan Komanwel 2018.

Pada penentuan pingat gangsa, pelumba tuan rumah, Jacob Schimid mengatasi Muhammad Shah Firdaus dengan kelebihan 0.235 saat pada perlumbaan pertama dan 0.032 saat pada perlumbaan kedua.

Pelumba negara  berusia 22 tahun itu, pada awalnya hanya mahu memperbaiki catatan peribadinya pada pusingan kelayakan, mara ke peringkat penyingkiran dengan kedudukan di tempat ke-16 dengan catatan masa 10.013 saat, yang juga menjadi pelumba terakhir layak ke peringkat 1/8.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelumba trek negara kejutkan juara dunia!

Di pusingan penyingkiran, Muhammad Shah Firdaus mencipta kejutan apabila menyingkirkan juara dunia, Matt Glaetzer yang juga pelumba tuan rumah untuk mara ke peringkat suku akhir.

"Bila saya tengok Glaetzer, saya rasa hendak tunjukkan sesuatu sebab penonton pastinya berbangga dengan pelumba mereka yang jadi juara dunia.Bila saya menang dengan Glaetzer, saya mula tingkatkan motivasi diri, dan setiap perlumbaan rasa macam sudah final.

"Saya akui agak gementar berdepan juara bertahan Sam Webster (New Zealand). Saya pun tengok Sam punya taktik, dia ikut apa saja tindakan saya. Tapi pencapaian yang dicapai hari ini adalah yang terbaik buat saya.

"Saya cuba sedaya upaya untuk kalahkan Jacob tapi masa itu saya dapatkan rasakan kaki saya macam tidak kuat. Saya kalah tapi saya puas hati sebab sudah bagi semua yang saya ada hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Shah Firdaus sedikit terkilan kerana tidak dapat meraih pingat gangsa yang mahu dijadikan sebagai hadiah ulang tahun kelahiran ibu dan juga jurulatihnya, John Beasley.

"Saya ingatkan bolehlah bagi hadiah gangsa buat hadiah hari jadi emak dan coach, tapi memang bukan rezeki saya. Tapi banyak pengalaman yang saya dapat kali ini," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan seterusnya, Muhammad Shah Firdaus berkata, Beasley secara peribadi menyatakan beliau percaya kepada kebolehan dan kemampuan  pelumba muda itu.

"Kita sudah setanding dengan pelumba-pelumba ternama sekarang cuma pengalaman dan keyakinan diri  yang membezakan kita. Coach pun dah tengok di mana kemampuan dan ada masa lagi untuk ‘top up' mana yang kurang menjelang Sukan Asia 2018,  Ogos nanti," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain