Piala FA: Pahang gagal manfaat peluang di laman sendiri - Sukan | mStar

Piala FA: Pahang gagal manfaat peluang di laman sendiri

Pemain Pahang Mohd Faisal Abdul Halim (depan, kanan) bersaing dengan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Safiq Rahim pada perlawanan Suku Akhir Pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pahang gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila  terikat tanpa jaringan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan suku akhir pertama Piala FA 2018 di Stadium Darul Makmur Jumaat malam.

Dengan keputusan tersebut, skuad Tok Gajah berhadapan cabaran getir kerana wajib mencatat kemenangan apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada 20 April ini, sekiranya berhasrat untuk melangkah ke separuh akhir musim ini.

Pada awal babak permainan, kedua-dua pasukan dilihat bermain secara berhati-hati dan sesekali menguji bahagian pertahanan dengan melakukan serangan kurang berbahaya ke arah gawang gol.

Pada minit ke-39, skuad Harimau Selatan hampir mendahului pasukan tuan rumah menerusi sepakan percuma kapten pasukan Safiq Rahim, namun tendangannya terkena palang gol.

Pasukan pelawat sekali lagi mengancam kubu pasukan pantai timur itu pada minit ke-42 apabila Mohamad Fadhli Shas melakukan tandukan kencang hasil sepakan sudut Muhammad Safawi Rashid, namun percubaannya itu berjaya dinafikan penjaga gol, Mohd Helmi Heliza Elias.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Dollah Salleh bermula garang apabila pemain import dari Kemboja, Vathanaka Chan merembat kencang setelah menerima hantaran leret Patrick Cruz dalam kotak penalti pada minit ke-55, namun tendangan pemain import itu terkena tiang gol.

Keputusan 0-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Tiga lagi aksi suku akhir pertama Piala FA pada Sabtu malam , menyaksikan Kuala Lumpur akan menentang Selangor, PKNS FC berdepan Perak, manakala PKNP FC akan bertemu Felda United FC. - Bernama

Piala FA , Pahang , JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Dia seperti haiwan..." - Simeone

Artikel Berkaitan

Artikel Lain