suria

Fajer Ibrahim Dilantik Jadi Pengarah Teknikal Skuad Kelantan

Bibi Ramjani (kiri) menandatangani kontrak bersama Fajer pada Ahad. - Foto dari Red Mania Rebel

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik bekas jurulatih kebangsaan Syria, Fajer Ibrahim sebagai pengarah teknikal persatuan itu bagi meningkatkan prestasi pasukan negeri ini.

Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pihaknya telah menandatangani kontrak bersama Fajer pada Ahad dan beliau akan bertugas sepanjang Liga Malaysia musim ini.

"Tidak mustahil dalam masa terdekat ini kita akan melantik beliau sebagai ketua jurulatih pasukan Kelantan bagi membantu pasukan menghadapi baki saingan Liga Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Kafa ketika ini memberikan tanggungjawab kepada Pemangku Ketua Jurulatih Yusri Che Lah untuk mengendalikan pasukan Kelantan setelah Sathit Bensoh digugurkan daripada jawatan tersebut.

Bibi Ramjani berkata Fajer akan memulakan tugas baharunya itu mulai minggu ini.

Ditanya kemungkinan berlaku rombakan pemain, beliau akan mengambil kira pandangan Yusri dalam perkara tersebut.

Dalam masa sama, beliau mahu pemain meningkatkan prestasi masing-masing serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Fajer membuat perubahan terhadap pasukan Kelantan.

"Kita (Kafa) sebelum ini telah memberikan surat peringatan kepada pemain supaya meningkatkan prestasi mereka," katanya.

Selepas lima perlawanan, Kelantan kini berada pada kedudukan ke-11 liga dengan memperoleh empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan manakala piala FA pasukan itu terkandas di pusingan ketiga kepada PKNS FC pada Sabtu. - Bernama

Fajer Ibrahim, Kafa

Artikel Lain