suria

Kejohanan Berbasikal Asia Bukan Sasaran Jijoe, Tapi...

Jaguh sukan berbasikal trek negara semasa menjalani latihan menjelang Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018. - Bernama

NILAI: Juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang mengesahkan beliau akan memberi keutamaan khusus kepada persediaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Jaguh berbasikal negara itu yang lebih mesra dengan panggilan Jijoe dalam kalangan rakan sepasukan, berkata beliau perlu bijak memilih kejohanan yang bakal disertainya pada tahun ini bagi memastikan dirinya berada pada prestasi terbaik ketika menyertai sesuatu kejohanan.

Sukan Komanwel bakal diadakan di Gold Coast, Australia dari 4 hingga 15 April, manakala Sukan Asia dijadual berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 Sept di Indonesia.

"Penyertaan saya pada Kejohanan Berbasikal Asia, penghujung minggu ini bukan sasaran untuk meraih pingat kerana saya perlu menghadapi cabaran lebih besar selepas ini, Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azizulhasni berpuas hati dengan program latihan diatur jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley yang memberi fokus kepada kualiti latihan berbanding tempoh latihan.

"Tahun ini, saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian saya untuk memberi fokus pada kalendar perlumbaan tahun ini yang begitu padat.

"Peningkatan amat drastik dalam program latihan dan saya sangat berpuas hati dengan perancangan yang ditetapkan jurulatih," jelas anak jati Terengganu itu.

Sementara itu, Beasley berpuas hati dengan peningkatan ditampilkan Mohd Azizulhasni semasa sesi latihan, namun banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu berada pada prestasi terbaik bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

“Apa yang saya boleh katakan, otot-otot Mohd Azizulhasni semakin mantap yang menjadi keutamaan kami sejak setahun lepas, dengan sebahagian latihan dijalankan di gimnasium,” kata Beasley.

“Beliau dalam keadaan yang sangat baik kerana kita sudah merangka setiap program latihan beliau dan kita akan teruskan usaha itu sebelum dia menyertai sebarang kejohanan utama,” kata jurulatih kelahiran Australia itu.

Terdahulu, Mohd Azizulhasni dan Beasley ditemui pemberita selepas menerima lawatan daripada Pengerusi Institut Sukan Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How di Velodrom Nasional, di sini, Isnin. - Bernama

Azizulhasni, keirin

Artikel Lain