suria

Karpet Merah 100 Meter Sambut Lee Chong Wei

Kisah hidup jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei dijadikan sebuah filem yang bakal menemui penonton pada Mac depan.

PERMAIDANI merah sepanjang 100 meter bakal dibentang di perkarangan Stadium Nasional Kuala Lumpur Sports City bagi menyambut jaguh badminton iaitu Datuk Lee Chong Wei pada 9 Mac depan.

Acara gilang gemilang itu diadakan bersempena tayangan sulung filem mengenai kisah hidupnya yang berjudul Lee Chong Wei bersama peminat.

Lebih menarik tayangan itu nanti bakal menyaksikan versi tambahan berdurasi 133 minit akan ditayangkan kepada penonton pada acara itu nanti.

Ia juga menyaksikan Chong Wei bakal menonton nashkah itu buat pertama kali bersama peminat.

Filem arahan Teng Bee itu akan ditayangkan di dalam stadium menggunakan layar gergasi LED berukuran 40 meter x 17 meter, sekaligus menjadikan ia sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Malaysia.


Tayangan perdana itu juga dijangka dihadiri oleh 2,000 penonton dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records.

Ia kini boleh dibeli secara tunai atau menggunakan kad kredit di ‘box office’ di Axiata Arena, Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil bermula 1 Februari ini. Maklumat lanjut sila hubungi +603-58799967.

Setiap pembelian tiket membolehkan penonton menerima secara percuma sehelai kemeja-T filem Lee Chong Wei bernilai RM59, sekeping tiket filem tersebut di pawagam GSC, sekeping poster edisi terhad yang ditandatangani Chong Wei dan para pelakon serta satu beg tenunan tajaan filem.

Selain itu, pembeli tiket juga berpeluang memenangi hadiah menarik untuk cabutan bertuah seperti raket badminton YONEX LEE CHONG WEI sebanyak 100 unit, telefon pintar SAMSUNG (5 unit), buku filem (30 unit) dan pelbagai lagi hadiah menarik disediakan.

Lee Chong Wei

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain