suria

Kedah Perlukan Skuad Lengkap - Marcote

Ramon Marcote

RAMON Marcote berpendapat Kedah memerlukan sebuah skuad yang lengkap dengan lima pemain import jika berhasrat untuk mencabar kejuaraan Liga Malaysia musim ini.

Ketua jurulatih Kedah itu berkata, untuk menyaingi pasukan seperti JDT, Selangor, Perak dan lain-lain, skuad hijau kuning perlu mempunyai senarai pemain yang memenuhi kuota.

Berikutan itu jelasnya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) perlu memutuskan pemain dari negara Asean yang akan bersama Kedah secepat mungkin memandangkan liga hampir membuka tirainya.

"Liga Malaysia adalah pertandingan yang mengambil masa yang panjang dan kita juga terpaksa beraksi untuk Piala FA dan  Piala Malaysia, jadi saya perlukan barisan pemain terbaik dan berpengalaman bagi membantu hasrat kita untuk mencapai kejayaan.

"Liga yang panjang pasti akan membuatkan beberapa pemain mengalami kecederaan dan sebab itu saya perlukan pemain yang mampu menggalas tugas mereka bagi memenuhi harapan KFA termasuk ribuan peminat setia.

"Setakat ini memang pemain telah membuktikan kemampuan mereka, namun untuk jangka panjang kita perlukan pemain secukupnya supaya tidak menganggu momentum skuad," katanya kepada mStar Online.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Suphanburi dalam aksi pramusim pada malam Rabu, Marcote memberitahu, dia terpaksa mengeluarkan beberapa pemain bagi memastikan mereka tidak tercedera.

Menurutnya, selepas tonggak utama dikeluarkan, lawan menggunakan kesempatan itu untuk memenangi perlawanan 3-1.

"Apa yang penting, pemain muda dapat mempelajari banyak perkara dalam perlawanan ini untuk menjadikan mereka lebih matang dalam aksi liga nanti," ujarnya.

Beliau berkata, setiap pemain yang ingin membarisi kesebelasan utama perlu memiliki ciri-ciri yang ditetapkan walaupun mewakili skuad kebangsaan.

Katanya, perkara itu penting bagi menyediakan skuad yang benar-benar mampu memberi saingan kepada pasukan lawan yang turut melakukan persediaan sebaik mungkin bagi musim 2018.

Ramon Marcote, KFA, kuota Asean

Artikel Sebelum

Van Marwijk Latih Australia

Artikel Berikut

Artikel Lain