suria

Cari Sahaja Venue Lain!

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong penuh saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar pasukan Selangor mencari venue lain untuk dijadikan venue tuan rumah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata memang tepat kenyataan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa hasrat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue tuan rumah adalah mustahil.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini menyarankan agar FAS terus menjadikan Stadium Selayang sebagai venue tuan rumah seperti musim lepas.

“Saya melihat kenyataan daripada presiden FAM sangat tepat kerana setakat hari ini kita dah terima banyak permintaan. Bukan sahaja daripada sukan bola sepak tetapi juga sukan lain seperti ragbi untuk menggunakan Stadium Nasional.

“Sekiranya Selangor main di Stadium Nasional ini bakal mengganggu jadual, bukan hanya jadual stadium tetapi juga jadual perlawanan Liga M serta proses baik pulih stadium akan mengambil masa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Digitan ILKBS ke arah Transformasi TN50 dengan kerjasama Microsoft Malaysia pada Khamis.

Khairy.

Khairy berkata beliau telah mengarahkan agar Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menjawab permohonan FAS dan mencadangkannya mencari venue lain sebagai venue rasmi.

Pada Selasa, Tunku Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM berkata Stadium Nasional tidak dapat digunakan secara total sepanjang tahun oleh juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.

Untuk rekod, perlawanan tidak dapat dilangsungkan di Stadium Selayang pada waktu malam akibat masalah lampu limpah yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

Kali terakhir Selangor menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah adalah pada aksi awal Liga Super 2012 semasa Stadium Shah Alam dibaik pulih. - Bernama

Fam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain