suria

Penganjur Acara Tamak - Karim

KUALA LUMPUR: Sebalik berlakunya 'tsunami' penganjuran acara larian di negara ini, kebanyakkannya adalah acara yang tidak diiktiraf oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Perkara itu didedahkan oleh Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, yang berkata terdapat segelintir penganjur yang sengaja tidak mahu memohon kelulusan kerana sikap tamak mereka untuk mengaut keuntungan.

Beliau berkata, walaupun pihak penganjur menyedari bahawa KOM menjadi satu-satunya badan mengawal selia acara olahraga termasuk larian, merentas desa dan marathon mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997, terdapat penganjur yang masih tidak mahu memohon kelulusan, sehingga menggadaikan keselamatan peserta dan orang awam.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, tetapi masih berlaku sehingga hari ini. Bayaran yang dikenakan oleh KOM untuk mengiktiraf dan menyediakan kepakaran teknikal bukannya tinggi, tetapi mereka tetap tidak mahu mendapat kebenaran kami.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa apa-apa jua acara berkaitan larian, perlu mendapatkan kebenaran kami," katanya pada sidang media berkaitan penganjuran acara sedemikian di Wisma OCM di sini, Rabu.

Isu penganjuran menjadi panas selepas tiga pelari cedera akibat dilanggar sebuah kereta ketika Marathon Antarabangsa Bandar Klang, Ahad lepas.

Karim berkata, Persatuan Olahraga Amatur Selangor akan membuat laporan polis mengenai penganjur berkenaan kerana tidak memohon lesen penganjuran daripada persatuan itu terlebih dahulu.

Berikutan itu, katanya, KOM bakal merangka garis panduan untuk rujukan pihak penganjur dalam menganjurkan acara-acara larian serta syarat mendapatkan kebenaran.

"Semua acara yang telah mendapat kelulusan telah dimuat naik dalam laman web Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dua hari lalu. Kami meminta orang ramai supaya memastikan acara itu diiktiraf sebelum menyertai acara itu.

"Kami juga ingin meminta pihak polis dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak memberikan permit jika penganjir itu tidak mendapat kelulusan KOM dan PJS, " katanya.

Karim turut mengingatkan bahawa jika terdapat atlet kebangsaan dan pegawai KOM yang terlibat dalam acara tanpa kelulusan, tindakan akan diambil terhadap mereka.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk S. Vegiyathuman berkata antara garis panduan itu ialah menetapkan trek khas yang tetap.

"Dengan adanya trek khas, kita tidak perlu menutup jalan raya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya. Selain itu, kami juga mencadangkan bahawa latar belakang penganjur dikaji dengan teliti, seperti menyemak adakah mereka muflis dan sebagainya," katanya.- Bernama

KOM, Datuk Karim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

“Ini Untuk Kamu” - Hazard

Artikel Lain