suria

Korea Utara Terkejut Vingada Pertaruh Pemain Muda

Jorn Andersen mendengar soalan diajukan pemberita pada sidang akhbar kelayakan Piala Asia untuk United Arab Emirates 2019 di wilayah Buriram, Thailand. - AP

BURIRAM: Ketua jurulatih Korea Utara Jorn Andersen terkejut dengan keputusan rakan setugasnya dari Malaysia yang mempertaruhkan banyak pemain muda dan kurang berpengalaman dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 pada Jumaat lalu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium I-Mobile di sini, Korea Utara menang mudah ke atas Malaysia 4-1.

“Saya perhatikan Malaysia tidak menurunkan pemain biasa dalam perlawanan ini, sebaliknya, membuat perubahan dengan menurunkan banyak pemain muda dan kurang berpengalaman,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di stadium itu di sini pada Ahad.

Korea Utara akan bertemu Malaysia sekali lagi di stadium sama pada 7 malam Isnin (8 malam waktu Malaysia).

Jurulatih kelahiran Norway yang memegang kerakyatan Jerman berpendapat Vingada mungkin mempunyai perancangan masa depan apabila beliau membuat keputusan itu dalam perlawanan pertama mereka pada Jumaat.

Bagi perlawanan Isnin,  Andersen berkata mereka akan mengekalkan momentum untuk mencari satu lagi kemenangan ke atas Malaysia,  yang akan meletakkan Korea Utara dalam kedudukan lebih baik untuk mengiringi Lubnan ke Piala Asia.

“Kami telah  mengkaji perlawanan pada Jumaat lepas menentang Malaysia dan semua pemain diminta supaya memperbaiki beberapa kelemahan yang dapat dilihat dalam perlawanan itu,” kata Andersen, dan menambah, mereka akan berusaha untuk tidak melakukan kesilapan dalam perlawanan menentang Malaysia itu.

“Kami mahu beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan kedua ini. Kami mahu menang,” katanya, dan menambah, kesemua pemainnya bersedia untuk berdepan Malaysia pada Isnin.

Sementara itu, ketua pasukan Korea Utara, Kim Yu-song berkata pemain pasukan itu cergas sepenuhnya susulan perlawanan Jumaat lepas, dan sedia untuk menentang Malaysia serta melakar satu lagi kemenangan. - Bernama

Jorn Andersen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain