suria

Hakimi Terima Pingat AMP

Hakimi (kanan) selepas menerima anugerah AMP. Foto: Instagram kimitj

PETALING JAYA: Atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Sabtu.

Hakimi antara dua atlet dan dua bekas atlet negara yang menerima penghargaan sempena Hari Keputeraan ke-61 baginda di Istana Iskandariah, Ipoh.

"Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak untuk anugerah darjah kebesaran sempena majlis ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Daulat Tuanku.

"Terima kasih kepada Dato Seri Puhat Nayan dan juga Dato @shahrulyahya atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada atlet2 perak," tulis Hakimi di laman Instagram miliknya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA (KL2017) itu berjaya merakam rekod baharu kejohanan dengan catatan 16.77 meter pada Ogos lalu.

Selain Hakimi, atlet yang turut menerima penghargaan adalah Mohamad Nasir Basharuddin (pemain bola sepak Perak), Josephine Mary (bekas pelari negara) dan Ng Kah Liew (bekas atlet rejam lembing negara).

Seramai 299 penerima menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Perak daripada baginda pada Sabtu, manakala 31 penerima telah menerimanya pada istiadat minggu lalu.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Pada istiadat itu, Sultan Nazrin Shah juga berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada empat individu.

Selain itu, 28 individu menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 10 Darjah Ahli Paduka Cura Si Manja Kini (ACM), 92 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 96 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan empat lagi Pingat Lama Perkhidmatan (PLP). 

Hakimi Ismail, Lompat Kijang

Artikel Sebelum

Kapten Piya Belum Buat Keputusan

Artikel Berikut

Artikel Lain